agenda-politik-islam

UMNO mesti mengarusperdanakan Islam jika ingin berkelangsungan. Ia mesti diperkemaskan dengan identiti dan citra yang lebih Islami.Perkara ini saya usulkan hanya kerana satu sebab. Sekalipun saya sedar bahawa di Johor ini, Melayu adalah UMNO, dan UMNO adalah Melayu. Namun, saya tidak boleh membayangkan, Melayu tanpa Islam.

Barangkali kerana, selain ketauhidan akidah dan kesyumulan sistem hidup yang kita pegang dan yakini, Islamlah faktor paling kuat dalam mencetus dan menggerakkan kebangkitan nasionalisme orang Melayu.Janganlah kita lupa, dari rahim Islamlah gerakan nasionalis bangsa lahir. Inspirasi kelahiran UMNO dan pergerakan kebangsaan itu, semuanya datang dari Islam. Ramai sekali pendiri bangsa yang terdiri dari ulama, guru agama, lulusan agama dan mereka yang mengajar dan berpendidikan agama.Yang lahir dari institusi pendidikan Islam seperti pondok, madrasah, dan sekolah agama. Yang bangun menggerakkan gerakan kebangsaan dan kemerdekaan.Kerana waktu itu, satu-satunya institusi yang gagal ditembusi dan dikuasai penjajah kolonial ialah sekolah dan institusi agama kita.

Dan, jika Islam itu terbukti sebagai faktor penting dalam kebangkitan kebangsaan Melayu, maka Islam juga harus terus penting dalam kelangsungan UMNO. Pada saya, Islam adalah gelombang ketiga dalam perjuangan UMNO. Setelah selesai gelombang pertama iaitu perjuangan kemerdekaan. Dan gelombang kedua, membangunkan tanah air.Kini, sebagai gelombang ketiga, UMNO mesti memfokuskan kepada pengukuhan Islam di Malaysia sebagai agendanya. Kenapa saya mengatakan Islam adalah gelombang ketiga yang akan memastikan kelangsungan UMNO?

Kerana bagi saya Islam, kemelayuan dan modenisasi telah lama berakar dalam peribadi, pemikiran dan perwatakan bangsa Melayu. Islam di satu sisi. Kemodenan di sisi yang lain. Dan Kemelayuan pula berada padasatu sisi yang lain.Lalu ia membentuk segitiga yang saling melengkapi dan menghidupi. Yang menjadi lingkaran identiti serta citra yang unggul untuk orang Melayu. Telah lama wujud titik temu antara Islam, kemodernan, dan keMelayuan ini. Dan titik temu itulah yang sebenarnya mesti kita serlahkan dan angkat dengan lebih serius dalam UMNO. Bukan hanya untuk mengembalikan semula keyakinan orang Melayu kepada perjuangan UMNO. Tetapi kerana inilah UMNO yang sebenar! Yang dipimpin oleh sistem nilai yang berpasakkan Islam. Yang digerakkan oleh pemikiran, budaya kerja dan prinsip yang melunasi ajaran islam

70 peratus orang Melayu, bila ditanya identitinya, lebih senang memperkenalkan diri mereka sebagai Muslim dahulu, kemudian Melayu. Ini semua harus mengingatkan kita. Bahawa Islam begitu sinonim dan didambakan oleh orang Melayu. Hatta dalam kehidupan moden Malaysia. Lihat sahaja perubahan demografi generasi muda Melayu Malaysia hari ini. Pertama, demografi kita didominasi oleh orang muda, khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah. Kedua, mereka berpendidikan tinggi dan mengisi kelas menengah. Ketiga, gaya hidup generasi kini sangat terhubung dengan persekitaran global melalui teknologi.mKeempat, mereka adalah golongan yang amat sedar dan peka tentang hak mereka dalam demokrasi. Mereka adalah ‘the democracy native’.Kelima, mereka mempunyai rasa terhubung yang kuat dengan kehidupan beragama. Agama adalah identiti dan kebanggaan mereka. Jadi, pastinya dengan kelima-lima ciri ini, Malaysia pada masa hadapan akan tercorak dengan identiti baharu. Mereka inilah golongan Melayu Maju. Mereka lebih warak, lebih berpengetahuan, lebih stabil ekonominya dan lebih sejahtera.Agama menjadi orientasi dan sumber moralkepada golongan Melayu Maju ini. Pengetahuan menjadi sumber kompetensi dan produktiviti. Dan kesejahteraan merupakan output sasaran yang dikejar.

Selama ini, secara tidak kita sedari, politik Islam itu sebenarnya sangat sebati dan bertunas dalam perjuangan UMNO.Cuma apa yang kita perlukan sekarang adalah lonjakan dan fokus yang lebih radikal, besar dan serius. Untuk mengarusperdanakan Islam dalam UMNO secara lebih konstruktif. Secara lebih mendasar. Lebih kemas dan lebih rapi.Kerana UMNO tanpa Islam, akan jadi pergerakan yang hambar. Tiada jiwa, tiada nurani. Kerana itulah, sempena 70 usia umno ini, UMNO Johor meraikkannya dengan agenda pembaharuan.Kita menganjurkan jalan baru iaitu menjayakan Agenda Melayu Maju dengan mengarusperdanakan politik Islam sebagai jalannya. Dan saya mengambil kesempatan ini mengajak semua yang hadir, dan mereka yang diluar sana, untuk menyokong gerakan besar-besaran rejuvenasi UMNO ini.

Saya harus menegaskan bahawa politik Islam yang saya sarankan bukan tentang struktur. Bukan tentang negara islam dan hukum hakam.Ia lebih jauh dari itu semua. Politik Islam yang kita anjurkan menjurus kepada sistem nilai dan tadbir urus yang lebih baik. Yang berpasakkan keadilan, kebebasan, ketelusan dan kesepakatan. Yang Islami. Politik dan sistem nilai yang mengajak semua orang berlumba-lumpa melakukan amal soleh dan kebaikan. Amatlah penting kita sedari dan faham bahawa politik Islam itu amat luas. Bukan seperti yang selama ini kita dengar dan dimomokkan oleh sesetengah pihak.Yang mentafsir dan meletakkan politik Islam dalam kerangka yang amat sempit dan tidak adil. Yang melihat politik Islam itu hanya pada penubuhan sebuah Negara Islam mengikut tafsiran mereka. Dan berkisar hanya tentang hukum hudud yang digubal dengan cara yang becanggah-canggah. Politik Islam versi sebegini hanya terkurung dalam isu kepimpinan ulama dan perbahasan siapa yang lebih hebat Islamnya di sisi Tuhan. Pemikiran dan ideologi sebegini adalah sangat terkebelakang. Pada waktu yang sama, agenda Islam kita juga jangan hanya berkisar tentang menaik taraf mahkamah syariah atau gaji guru sekolah agama. Itu naratif yang terlalu kecil dan tidak pun menggambarkan keluwesan sebenar ajaran Islam. Sedangkan politik Islam yang baik itu adalah tentang sistem nilai, cara kerja, pemikiran dan pegangan. Bukannya pada struktur dan jenama. Bukan pada slogan dan warna bendera. Bukan sekadar siapa lebih Islamik.

Jadi, bagaimana untuk kita membetulkan keadaan ini sekarang? Saya menyarankan untuk UMNO mengangkat dan membawa politik Islam yang dalam dirinya selama ini, ke tahap yang lebih baik dan terserlah.Dengan cara yang lebih progresif dan berkemajuan. Cara yang lebih unggul dan menepati aspirasi politik Islam.

Misalnya, pertama, dengan melihat dan mendalami bagaimana syiar Islam itu boleh menjadi faktor yang dapat menjadikan Malaysia lebih moden dan sejahtera. Bukan menolaknya atau mengubah struktur Malaysia sebagai negara bangsa yang meraikan kemajmukan. Kedua, bagaimana Islam dan ajarannya, boleh membantu melonjakkan Melayu dan Malaysia, menjadi sebuah Negara Kesepakatan yang adil, berdaya saing, kuat dan dihormati. Ketiga, bagaimana Islam mesti menjadi panduan untuk pemimpin kita menjadi lebih beramanah dan takut pada Penciptanya. Sekaligus menghapus politik wang dan salah guna kuasa.Keempat, bagaimana Islam memberikan pelbagai solusi kepada kemaslahatan bangsa. Menggunakan pelbagai pendekatan Islami seperti wakaf, hibah, zakat dan sebagainya. Kelima, bagaimana Islam menjadi rujukan untuk mengurus ekonomi moden dengan bersandarkan prinsip tidak menindas, inklusif dan berkeadilan. Kelima-lima contoh ini adalah sebahagian sahaja daripada cara yang boleh digunakan oleh UMNO untuk menterjemahkan politik Islam yang sebenar dan amat diperlukan oleh Malaysia. Asasnya memang semua yang telah saya nyatakan diatas, telah ada dan dilaksanakan dalam UMNO. Tetapi masanya telah tiba untuk ia lebih diserlahkan dan diangkat menjadi rencana dan agenda utama UMNO untuk masa depan.Dan pastinya terdapat lebih banyak lagi pendekatan yang progresif dan matang seperti ini yang boleh kita terokai selepas ini.

Akhir kata, saya hanya ingin menegaskan sekali lagi.sudah tiba masanya untuk UMNO melancarkan gerakan besar-besaran melaksanakan Agenda Melayu Maju yang bersandarkan politik Islam progresif ini.

umno

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>