Anugerah Sukan Johor malam tadi adalah malam kita mengucapkan terima kasih dengan setulusnya kepada kesemua pemimpin dan pihak pengurusan, semua persatuan, kelab-kelab, para penggerak, pengurus dan penyokong sukan, kerana memberikan yang terbaik kepada Johor.

Kita mesti mempunyai visi yang besar untuk memposisikan sukan sebagai sektor pertumbuhan ekonomi negara. Saya juga menyeru para pentadbir dan penggerak sukan Johor untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri menjadikan Johor sebagai hab sukan negara dan rantau ini.

Kita mesti membawa pelbagai acara sukan untuk dianjurkan disini. Kalau KL Marathon boleh menjadi acara global, kenapa pula Iskandar Marathon tidak boleh? Kalau Le Tour de Langkawi boleh menjadi acara berprestij antarabangsa, kenapa The Southern Race tidak boleh dianjurkan di sini? Kalau Monsoon Cup boleh dijayakan di negeri seperti Terengganu, kenapa Mersing Regatta tidak boleh dijayakan. Kalau Abu Dhabi boleh menjadi pusat dessert endurance, kenapa Endau Rompin tidak boleh menjadi arena tropical endurance. Jadi, kita sebenarnya mempunyai banyak kelebihan dan keunikan. Yang mesti dibongkar potensi ekonominya dan dipromosikan melalui sukan dan aktiviti fizikal.

Segala kejayaan kita dalam sukan, sangat menyumbang kepada pengaruh, keterlihatan dan kedudukan Johor di peringkat nasional dan antarabangsa. Lihat sahaja JDT. Ia telah menjadi satu jenama besar bola sepak nasional dan antarabangsa. Siapa sangka JDT boleh pergi sejauh ini. Dan bila orang menyebut JDT, orang tahu itu Johor. Orang kenal Johor. Di mana kita menggunakan sukan untuk membina imej yang positif terhadap bangsa kita. Dan negeri kita. Dan melalui imej yang positif ini, kita dilihat berpengaruh. Kita dikenali. Kita boleh dijadikan teladan yang baik dan positif.

Kita mesti akui, kita bukan negeri yang besar. Tetapi saiz geografi kita tidak harus memagari cita-cita besar kita.Kita mahu menjadi negeri yang berpengaruh dan dihormati, walaupun saiz kita kecil. Kerana pengaruh itu bukan sekadar pada keluasan daerah kita, tetapi pada kualiti dan kewibawaan bangsa kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>