Kebijaksanaan yang dikongsikan kepada saya oleh seorang warga emas suatu ketika dahulu berbunyi begini: Jika kita benar-benar bagus, kita tidak perlu mendabik dada dan memberitahu semua.

Jika kita benar-benar bagus, orang akan mula ambil perhatian tentang kita.

Sukar untuk menggambarkan perasaan saya apabila mendapat tahu tentang pengiktirafan Johor Bahru sebagai bandaraya ketiga terbaik untuk didiami di rantau Asia Tenggara oleh Mercer. Gembira, bangga, namun berbaur dengan kesedaran yang amat mendalam bahawa banyak lagi yang perlu kita lakukan bagi mencapai aspirasi Johor Berkemajuan.

Mercer merupakan sebuah firma perundingan yang menjalankan kaji selidik itu untuk dikongsikan hasilnya bersama syarikat-syarikat multinasional bagi merangka pakej-pakej ekspatriat yang ingin berhijrah ke rantau Asia Tenggara.

Namun, pengiktirafan ini membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa pembangunan dan pertumbuhan negeri Johor mula menarik perhatian di peringkat antarabangsa.

Ia sekaligus membuktikan kita berada di landasan yang betul walaupun kita berhadapan dengan iklim ekonomi dunia yang tidak menentu.

Johor Bahru selaku ibu negeri Johor telah melalui transformasi yang amat hebat, lebih-lebih lagi dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Penubuhan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat dalam wilayah itu, khususnya di Johor Bahru.

Dalam tempoh berkenaan, kira-kira RM221 bilion pelaburan terkumpul telah direkodkan dan hampir 700,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pendidikan dan pelancongan.

Penyertaan jenama-jenama antarabangsa seperti taman tema Legoland, institusi pendidikan seperti Universiti Reading, Universiti Southampton, Universiti Newcastle serta pemaju-pemaju projek mega antarabangsa seperti Country Garden Pacific View dan Greenland turut meningkatkan profil Johor Bahru sebagai sebuah bandaraya yang semakin menjadi destinasi pilihan bagi pelabur.

Usaha-usaha ini diperkukuhkan lagi dalam Pelan Pembangunan Komprehensif ii (CDPii) IRDA yang menekankan tiga perkara utama iaitu pelaburan terancang dan terkawal, penekanan aspek kelestarian dalam pembangunan, serta limpahan kemakmuran ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Kemampuan Johor untuk mencatatkan prestasi ekonomi yang baik selama ini adalah berdasarkan kepada pengurusan dan pelaksanaan dasar yang strategik dan tersusun.

Atas kekukuhan ekonomi ini, kita merangka Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) dan di dalamnya, Johor Bahru dipilih untuk dibangunkan sebagai pusat perdagangan antarabangsa.

Johor Bahru menjadi titik mulanya segala pelaksanaan perancangan serta limpahan kemakmuran ekonomi ke seluruh pelusuk negeri.

Antara langkah yang dilaksanakan ke arah itu ialah projek Ibrahim International Business District (IIBD), sebuah rancangan pembangunan menyeluruh yang akan menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah metropolis bertaraf dunia menjelang tahun 2020.

Ini membuktikan betapa seriusnya kita untuk menjadikan Johor Bahru, serta Johor keseluruhannya, sebuah kuasa ekonomi serantau yang makmur dan sejahtera.

Apabila Johor Bahru maju, daerah-daerah lain akan turut merasa limpahan manfaatnya dari segi pertumbuhan ekonomi, kewujudan peluang pekerjaan dan perniagaan, serta penambahbaikan taraf hidup secara keseluruhan.

Akhirnya, pengiktirafan Mercer ini hanyalah satu penanda aras bahawa kita telah mencapai sesuatu kebaikan daripada pelaksanaan dasar dan perancangan yang telah kita rencanakan selama ini.

Walaupun berpuas hati, kita tidak boleh sekadar berpeluk tubuh tetapi sebaliknya perlu menggandakan lagi usaha untuk terus menjadi lebih baik demi kebaikan dan kesejahteraan kita semua pada masa akan datang.

Ayuh Team Johor, marilah menuju kejayaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>