Alhamdulillah, misi pelaburan dan perdagangan ke Shanghai baru-baru ini telah membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan bagi negeri kita.

Apa yang lebih penting, kejayaan misi itu mencerminkan keyakinan pelabur kepada kita.

Aspirasi kita untuk menjadi kuasa ekonomi baharu untuk Malaysia nampaknya berada di landasan yang baik.

Perjumpaan demi perjumpaan telah diadakan dengan ramai pelabur berpotensi untuk kita perkenalkan Johor khususnya – dan Malaysia, amnya – kepada mereka.

China merupakan salah satu kuasa ekonomi terbesar di dunia.

Akan menjadi satu kerugian jika kita tidak merebut peluang bekerjasama dan memanfaatkan kepakaran yang mereka miliki.

Lebih membanggakan apabila kita bertemu dengan para pelabur berpotensi, ada yang bersungguh-sungguh ingin menjalinkan kerjasama dengan negeri kita.

Contohnya, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Johor Corporation (JCorp) bersama Beijing Huize Boyuan Robot Investment Company (Boyuan) yang menandakan permulaan kerjasama ke arah pembangunan sebuah bandar robotik yang pertama di Malaysia dan rantau ASEAN.

Projek bernilai RM15 bilion itu dipersetujui untuk dilaksanakan di Johor  walaupun Boyuan mempunyai pilihan untuk ke negara lain.

Orang-orang tua selalu berpesan, jangan ditolak rezeki yang datang bergolek.

Kejayaan misi ke Shanghai ini akan menjadi pembakar semangat untuk Kerajaan Negeri terus memperkasakan ekonomi negeri kita demi membawa kesejahteraan hidup kepada Bangsa Johor.

Satu lagi peluang besar yang bakal diperhalusi ialah kerjasama antara JCorp bersama Huawei, syarikat gergasi bidang teknologi maklumat dan komunikasi China.

Kerjasama itu membabitkan perancangan untuk membangunkan Ibrahim International Business District (IIBD) sebagai sebuah bandar pintar.

Ia sudah tentu akan membawa manfaat kepada Johor secara keseluruhannya, lebih-lebih lagi dengan kedudukan Johor Bahru sebagai ibu negeri.

Kewujudan bandar pintar akan meningkatkan keberkesanan peranan yang dimainkan dari segi urus tadbir, perdagangan, serta limpahan manfaat kepada daerah-daerah lain.

Saya amat gembira dengan keyakinan yang ditunjukkan kepada kami, kerana ia mencerminkan bahawa cita-cita kita untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi baharu dan sebuah negeri yang berkemajuan bukan hanya angan-angan kosong.

Tetapi kita benar-benar mempunyai potensi besar untuk menjadikannya sebuah realiti jika kita menguruskan hala tuju dan langkah-langkah kita dengan baik.

Amat menyedihkan apabila ketika pihak luar begitu yakin untuk melabur dan mengambil bahagian dalam pembangunan kita, ada pula dalam kalangan rakyat kita sendiri yang tidak mahu kita berjaya.

Demikianlah ujian bagi mereka yang ingin melakukan kebaikan.

Kita hanya mampu membuktikan kepada mereka melalui hasil kerja keras dengan harapan mata serta hati mereka akan terbuka untuk menerima hakikat bahawa, akhirnya, walaupun mereka tidak sependapat dan sehaluan bersama kita, mereka tidak akan sesekali dapat menafikan bahawa segala usaha kita telah memanfaatkan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>