Istilah ‘pimpinan akar umbi’ dalam musim pilihanraya ini seringkali membawa dengannya nada politikal yang menggambarkan jentera sesebuah parti politik.

Hakikatnya, maksud istilah itu jauh lebih luas kerana apa yang sering terlepas pandang adalah fungsi pentadbiran pimpinan akar umbi sebagai wakil dan pelengkap fungsi kerajaan di peringkat berkenaan.

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk bersama semua ketua-ketua kampung seluruh negeri Johor di mana saya telah menekankan betapa pentingnya peranan yang mereka mainkan dalam mendukung serta melaksanakan dasar kerajaan.

Kerajaan negeri tidak akan mampu menjaga dan memantau ke setiap pelosok negeri bertuah ini dengan berkesan, melainkan dengan bantuan, sokongan dan komitmen semua ketua kampung di peringkat akar umbi.

Sesungguhnya, tanpa sokongan dan tanggungjawab yang dilunaskan dengan baik oleh ketua-ketua kampung, Johor tidak akan dapat ditadbir dengan baik dan lancar.

Oleh sebab itu, kami di peringkat tertinggi kerajaan negeri amat berterima kasih kepada pimpinan akar umbi, termasuk ketua-ketua kampung kita.

Pada pertemuan bersama mereka juga saya telah sampaikan beberapa perkara untuk dikongsi dan diperjelaskan kepada masyarakat setempat masing-masing.

Pertama, saya tegaskan tentang bagaimana kedudukan ekonomi kita semakin baik dari setahun ke setahun ekoran pengurusannya yang baik kerana kita sedar hanya dengan ekonomi yang sejahtera, kehidupan rakyat akan lebih bermutu dan makmur.

Semenjak lima tahun lepas, pertumbuhan ekonomi Johor adalah sangat memberangsangkan, dengan pertumbuhan pada kadar 5.9% berbanding 5.1% bagi Malaysia.

Lebih penting, di sebalik pertumbuhan itu, jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar, adalah kecil. Malah, pendapatan isi rumah Johor terus mencatatkan peningkatan demi peningkatan. Setakat ini, pendapatan isi rumah Johor adalah sebanyak RM6,928.

Jumlah itu lebih baik daripada Pulau Pinang yang mencatatkan RM6,771 walaupun hakikatnya, pendapatan per kapita mereka lebih tinggi iaitu RM47,322 berbanding RM31,952 bagi Johor.

Ini menunjukkan bahawa pendapatan dan perolehan di Johor benar-benar sampai kepada rakyat dan memanfaatkan mereka.

Melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat ini, kita telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kita kepada sifar dan telah mempunyai dana untuk membangunkan prasarana jalan-jalan raya di semua kampung di Johor.

Kedua, saya juga telah menegaskan kepada ketua-ketua kampung bahawa walaupun kita melakar kejayaan demi kejayaan, tetapi kita tidak pernah merasa puas hati dengan pencapaian kita kerana kita mempunyai agenda yang lebih besar untuk Johor.

Tahun 2018 ini akan menjadi permulaan kepada pembangunan Dekad Baharu Johor, di mana salah satu agendanya adalah untuk memastikan kehidupan di kampung dan desa seluruh Johor menjadi lebih sejahtera, selesa dan terhubung.

Kita tidak mahu membandarkan kampung-kampung kita, tetapi kita mahu ia kekal namun dilengkapi dengan kemudahan lengkap serta mempunyai fungsi ekonomi yang selari dengan keperluan moden.

Cita-cita kita adalah untuk memastikan setiap desa dan kampung mempunyai jaringan internet jalur lebar serta rangkaian jalan raya yang lebih baik sehingga ia berupaya menawarkan peluang pekerjaan lebih berkualiti serta menarik sesetengah populasi kita untuk pulang, tinggal dan bekerja di kampung.

Melalui jaringan komunikasi yang maju, banyak bakat dan kemahiran pemuda-pemudi di desa dan kampung boleh dibangunkan dan dimanfaatkan untuk memajukan seluruh pelosok desa kita.

Perkara ketiga yang saya tegaskan kepada para ketua kampung adalah keperluan mereka berusaha selaku wakil kerajaan negeri untuk memperbetulkan persepsi serta pemahaman masyarakat tentang usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Tidak semua agenda besar dan perancangan murni kita untuk Johor ini akan sampai ke telinga masyarakat di luar sana.

Ini dikeruhkan lagi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memberikan cerita berbeza untuk mengelirukan masyarakat dan memburukkan kerajaan, apatah lagi pilihanraya yang semakin dekat.

Mereka pasti akan memutar belit dan memandang serong segala usaha yang kerajaan negeri laksanakan bersama sokongan pemimpin-pemimpin akar umbi.

Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, ambillah kesempatan untuk mendekati dan menasihati masyarakat agar mereka tahu akan sikap keterbukaan kita, yang mentadbir secara prestasi serta mendengar suara hati mereka.

Ketua-ketua kampung adalah pimpinan kerajaan di desa kita dan pelengkap kepada strukur kerajaan yang komprehensif.

Mereka perlu mempertahankan kewibawaan kerajaan dan mempertahankannya dengan kepimpinan yang dihormati, diyakini serta ikhlas untuk memajukan masyarakat desa.

Masyarakat tidak boleh dibiar mudah melatah dan menerima secara buta tuli segala kekeliruan yang dibawa oleh pihak yang hanya inginkan kegagalan kita tanpa membawa alternatif yang lebih baik.

Oleh sebab itu saya sering tekankan bahawa kita mesti bersama, berganding bahu sebagai satu pasukan dan bergerak dalam Team Johor.

Kita mesti bersepakat dan bermuafakat untuk memaklumkan kepada masyarakat segala cerita dan fakta yang betul.

Pimpinan akar umbi termasuk ketua-ketua kampung adalah struktur penting kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Semoga peranan mereka terus dimainkan sebaik mungkin bersama kerajaan negeri demi membawa manfaat kesejahteraan kepada rakyat jelata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>