mb-header

Beliau dilahirkan pada 30 November 1958 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Ledang, Tangkak dan bersekolah menengah di Sekolah Tinggi Muar sebelum meneruskan pengajian ke Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1982 dan menyertai Jabatan Undang-Undang Petroleum National (PETRONAS).

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Rosni Omar pada tahun 1986 dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan (1983-1986) dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kebajikan Masyarakat (1986-1987), Dato’ Shahrir Abdul Samad. Karier beliau sebagai Ahli Parlimen pula bermula pada tahun 1990 apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru selama tiga penggal berturut-turut (tahun 1999, 2004 dan 2008) sehinggalah beralih ke kerusi Parlimen Pasir Gudang yang baharu dibentuk hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya. Beliau juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang sehingga kini.

Peranan dan sumbangan beliau dalam kerajaan persekutuan bermula dengan pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya bermula Disember 1999. Sejurus selepas pilihan raya umum 2004, beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bermula 1 April 2008, beliau diamanahkan pula untuk menerajui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehingga 2013.

Beliau kemudian memenangi kerusi DUN Permas dalam pilihan raya umum pada tahun itu, dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Besar Johor sehingga kini.