Penulisan adalah satu bidang berkepentingan yang mesti dipandang serius. Ia bukan sekadar helaian yang dipenuhi dengan aksara yang menjauhkan atau mengaburkan pandangan masyarakat tentang kebaikan.

Ramai orang menjadi penulis atas sebab yang tersendiri dan berbeza-beza. Ada yang memilih menceburi bidang itu sebagai cara mendapatkan pendapatan. Lumayan atau tidak, itu tidak menjadi isu.

Ada yang memilih penulisan sebagai pengkhususan kerana minat yang mendalam. Minat yang akhirnya diter­jemahkan menjadi satu kerjaya dan kepercayaan yang mendewasakan.

Malah, ada juga yang menjadi penulis secara kebetulan atau tidak sengaja terjebak ke dalam bidang tersebut. Lalu mereka memutuskan untuk kekal dan terus memajukan diri.

Penulis mempunyai tugas dan tanggungjawab bukan sahaja kepada diri dan minat semata-mata. Tetapi juga tanggungjawab dan peranan kepada para pembaca dan masyarakat umum.

Malah, peranannya bukanlah se­suatu yang boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita memandang peranan dan tanggungjawab para penulis dalam konteks yang lebih besar dan bermakna.

Di pihak kerajaan, kita mempunyai satu harapan dan permintaan agar para penulis menggunakan segala kedudukan, kelebihan, pengalaman dan bakat dalam penulisan untuk membantu membina sebuah masyarakat yang lebih baik.

Gunakanlah segala kelebihan yang ada untuk membantu kerajaan mendekati dan menyantuni masyarakat dengan penulisan yang kreatif, bermaklumat, merangsang pemikiran, selain bermoral dan bertanggungjawab.

Lebih-lebih lagi dalam konteks hari ini yang menyaksikan dunia dan Malaysia telah dipacu oleh medium sosial seperti Instagram, Twitter dan blog. Kesemuanya bersifat digital yang tidak lagi memerlukan makalah atau penulisan versi kertas bercetak.

Malah, bahan bacaan dan penulisan hari ini juga bebas diterbitkan tanpa halangan, tanpa suntingan dan tanpa saringan moral dan etika.

Natijahnya, wujudlah lambakan bahan penulisan yang tidak berkualiti dan tidak mematangkan pemikiran. Malah, banyak yang hanya me­rendahkan pemikiran dan kematangan masyarakat, khususnya anak muda.

Jika kita mahu ma­syarakat menjadi yang terbaik, kita bukan sahaja mesti membudayakan tabiat membaca, tetapi perlu memastikan bahan bacaan yang berkualiti dan perkara ini tidak akan boleh terjadi tanpa sokongan serta iltizam daripada para penulis.

Inilah nilai dan falsafah sebenar perjalanan hidup seorang penulis, ia mesti membina dan memberikan perspektif yang sebenar dan di luar daripada kelaziman.

Penulis bukan sekadar penulis cerita dan perakam peristiwa menggunakan kata-kata, tetapi jambatan yang me­nghubungkan masyarakat dengan kebenaran.

Penulisan bersifat fiksyen, bukan fiksyen, genre kreatif atau sebagainya, itu hanyalah format dan bentuk semata-mata.

Yang penting, isilah segala karya dan cerita tersebut dengan penuh integriti, adil dan ilmu serta dengan kajian dan niat memberi pencerahan.

Kita mesti sedar bahawa masyarakat sudah lalai dan mual dengan penulisan yang bersifat murahan, yang ha­nya mahu meraih populariti dan mensensasikan isu.

Sesungguhnya memperbaiki masyarakat dan negara bukan hanya tugas kerajaan, ia tanggungjawab kolektif kita semua.

Iktiraf Sumbangan Penulis

Di Johor misalnya, kerajaan negeri mengiktiraf peranan dan sumbangan yang dimainkan Persatuan Penulis Johor, bukan sahaja di negeri malah di seluruh tanahair.

Nama besar seperti Allahyarham Dr. Usman Awang adalah sesuatu yang tidak perlu diperkenalkan dan hari ini Johor terus diwakili oleh penulis-penulis besar seperti Khadijah Hashim, Adibah Amin, Shahrom Hussin, Matlop, Zam Ismail dan ramai lagi.

Malah, kemunculan penulis muda seperti MF Kencana yang melahirkan lebih 100 skrip drama televisyen merupakan kebanggaan kepada Johor.
Selain itu, nama-nama seperti WB Rendra, yang memenangi hadiah utama sebanyak dua kali berturut-turut dalam Sayembara Novel Sejarah membuktikan Johor tidak pernah ketandusan penulis yang berjaya.

Kerajaan Johor juga buat julung-julungnya kali telah menganugerahkan gelaran Sasterawan Negeri Johor kepada seorang tokoh penulis, Shapiai Mohd. Ramly, tahun lepas.

Selain itu, para penulis di Johor turut diberi pengiktirafan secara konsisten melalui penganugerahan Hadiah Sastera Darul Ta’zim secara dwitahunan.

Keprihatinan yang sama dizahirkan dalam perihal persuratan sehingga Persatuan Penulis Johor juga mendapat tempat tersendiri dalam pembentangan Bajet Johor sejak 2014 hinggalah sekarang.

Penulis harus terus berusaha untuk memberikan sumbangan yang lebih besar dan bermakna kepada seluruh masyarakat. Inilah masanya menggunakan mata pena dan idea bernas untuk melonjakkan negeri dan negara di mata dunia. Martabatkan peluang itu senada kata-kata, mata pena lebih tajam daripada sebilah pedang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>