Teks Ucapan YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin Menteri Besar Johor Sempena

Majlis Pelancaran B5 Johor Street Market Johor Bahru Di Batu 5, Pekan Tampoi Johor Bahru

Pada Hari Sabtu,13 Januari 2018 Jam 3.00 Petang


YB Dato’ Haji Azmi Bin Rohani

Setiausaha Kerajaan Johor.

 

YB Datuk Nur Jazlan Bin Tan Sri Mohamed

Timbalan Menteri Dalam Negeri

Merangkap Ahli Parlimen Pulai.

 

YB Datuk Tee Siew Keong

Exco Pelancongan Negeri Johor.

 

YB Dato’ Zulkurnain Haji Kamisan

Exco Belia, Sukan, Kebudayaan Dan Warisan Negeri Johor.

 

YB Tuan Haji Ismail Mohamed

Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

 

Yang Berbahagia Tuan Haji Muhammad Fuad Bin Haji Radzuan

Pegawai Daerah Johor Bahru.

 

YB Dato’ Kamaruzzaman Bin Abu Kasim

Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation

 

Ahli-Ahli Majlis, Majlis Bandar Raya Johor Bahru

Wakil-Wakil Agensi Kerajaan

 

Media Massa, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Saya Hormati Sekalian

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

1.             Alhamdulillah, marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya dapat saya hadir dan berkumpul bersama-sama bagi menyempurnakan majlis pelancaran sebuah pusat komersial pelancongan setempat.

2.             Hari ini, kita bakal menyaksikan satu lagi mercu pencapaian bermakna yang bakal merubah landskap dan wajah Pekan Tampoi ini, dengan satu projek pembangunan terkini oleh Johor Corporation.  3.             Projek ini dilaksanakan di atas sebahagian bekas tapak Pekan Tampoi yang suatu ketika pada awal tahun 80an dan 90an merupakan sebuah pekan kecil yang menjadi tumpuan penduduk sekitar di sini.

4.             Sebahagian daripada kita juga mungkin masih ingat, pekan atau kawasan ini dikenali dengan nama Pekan Batu 5.

5.             Pada waktu itu, aktiviti perniagaan giat berlangsung. Di sini terdapat kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Ada sebuah pasar yang meriah, dan ada sebuah panggung wayang yang menjadi tumpuan semua.

6.             Di sekitarnya, terdapat pelbagai deretan kedai kopi yang menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat. Malah, kemudahan pejabat pos pun ada.

7.             Pendek kata, pekan ini pernah menjadi nadi ekonomi yang penting kepada sebahagian penduduk di sekitar Tampoi yang berniaga di sini. Kerancakan aktiviti jual beli di Pekan Batu 5 ini memberi sumber rezeki kepada pemandu teksi dan kereta sewa.

8.             Namun begitu, sejak tragedi kebakaran Pekan Tampoi sekitar tahun 90-an dan perpindahan sebahagian peniaga ke pusat perniagaan Taman Dahlia, nama Pekan Batu 5 beransur-ansur hilang dari sebutan.

9.             Pekan yang dahulunya meriah dan sibuk dengan aktiviti perniagaan dan kegiatan ekonomi masyarakat mula sunyi dan menghilang, seakan terbang di bawa angin bersama sisa dan abu dari kebakaran besar tersebut.

10.          Tiada lagi kerancakan aktiviti berniaga. Tiada lagi kesibukan dan kemeriahan. Kedai-kedai perniagaan semakin usang dan dipenuhi semak samun seperti sebuah pekan lama yang ditinggalkan.

11.          Pekan ini semakin suram. Malah, semakin seram.

12.          Sedangkan, ironinya, hanya dalam radius 3 kilometer dari pekan ini, terdapat pembangunan yang sangat pesat sedang berlaku. Tidak jauh dari sini terdapat tiga pusat beli-belah – Angsana Mall, Paradigm Mall dan Capital 21 yang akan dibuka tahun ini.

13.          Selain itu, tiga pasar raya iaitu Giant, Kip Mart dan Pasaraya Komuniti @mart Kempas turut berada dalam radius ini.

14.          Malah, terdapat banyak pusat komersial yang terdiri daripada rumah kedai dan pejabat tumbuh di sekitar kawasan Bandar Baru UDA, Damansara Aliff, Kempas serta Danga Bay.  Tuan-tuan dan puan-puan,

15.          Kesemua konteks sejarah dan persekitaran semasa ini menunjukkan bahawa adalah menjadi satu kerugian seandainya tanah seluas 5.8 ekar yang terletak di tengah-tengah pembangunan yang rancak ini dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa perancangan yang strategik.

16.          Maka, atas dasar itulah, Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Johor Corporation telah membuat keputusan untuk menyokong dan seterusnya memberi lampu hijau kepada Johor Corporation bagi membangunkan pusat pelancongan setempat ini.

17.          Kita mahu mengembalikan kemeriahan pasar dan aktiviti jual beli di Pekan Tampoi. Kita mahu ia kembali menjadi tarikan pengunjung.

18.          Kita mahu ia kembali bernyawa dan menjadi nadi penting kepada ramai peniaga kecil-kecilan.

19.          Malah, kita mahu mengembalikannya sebagai satu identiti bernilai kepada Tampoi dan negeri Johor ini.

20.          Justeru, kita bersetuju bahawa kawasan ini akan dinamakan sebagai ‘B5 Johor Street Market’. Dan B5 itu adalah singkatan kepada nama Batu 5. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

21.          Jika kita berkunjung atau bercuti di sesuatu destinasi, pastinya kita akan mencari dan memberi barang-barang tempatan di sana. Tidak kiralah untuk dicuba, dijadikan koleksi peribadi ataupun dijadikan cendera hati.

22.          Tidak lengkap kalau kita berkunjung ke Kelantan dan Terengganu tanpa membeli batik, keropok lekor dan budu.

23.          Tidak lengkap kalau kita berkungjung ke Sarawak jika tidak membeli ikan terubuk masin dan kek lapisnya.

24.          Dan tidak lengkap jika kita ke Langkawi tanpa membeli produk minyak gamat.

25.          Kesemua ini adalah satu rutin dan kebiasaan yang dilakukan apabila kita melawat ke sesuatu tempat.

26.          Jadi, bertitik tolak dari pemerhatian inilah, kita mahu mengangkat dan menghidupkan kembali B5 Johor Street Market ini.

27.          Kita mahu ia menjadi pusat produk-produk tempatan dipasarkan. Kita mahu hasil keluaran Johor diniagakan di sini.

28.          Ia pasti akan menjadi satu tarikan pelancong yang menarik. Sesuatu yang boleh kita promosikan kepada orang luar.

29.          Pada tahun lepas sahaja, Johor mencatatkan jumlah kemasukan pelancong domestik seramai 7.4 juta orang. Manakala pada tahun 2016, seramai 7 juta pelancong asing telah berkunjung ke Johor.

30.          Jumlah ini meningkat pada kadar sehingga 5% setahun. Jika trend dan keadaan ini berterusan, pada tahun 2020 nanti, dianggarkan seramai 8.5 juta pelancong akan mengunjungi Johor setiap tahun. Ini lebih 2 kali ganda saiz populasi penduduk negeri Johor ini sendiri.

31.          Walaupun jumlah ini kedengaran agak besar, namun ia sebenarnya masih rendah jika dibandingkan dengan Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak. Negeri-negeri bukan sahaja mempunyai tarikan semula jadi yang menarik. Tetapi mereka juga memiliki tarikan tempatan yang tersendiri seperti warisan sejarah dan keunikan budaya.

32.          Tetapi, ini tidak bermakna kita tidak mampu bersaing. Hakikatnya, Johor mempunyai semua kelebihan yang dimiliki oleh negeri-negeri lain ini.

33.          Di Johor kita ada pantai yang cantik seperti di Desaru, pusat membeli belah di Johor Premier Outlet (JPO), taman tema permainan kanak-kanak seperti Legoland, Hello Kitty Town, Angry Birds Activity Park dan pelbagai pusat warisan sejarah seperti Kota Tinggi.

34.          Malah, Johor juga mempunyai warisan budaya dan kesenian yang unik dan tersendiri.

35.          Namun, kesemua ini adalah sebahagian sahaja dari tarikan pelancongan kita. Kita tidak boleh selesa dan berhenti di situ. 36.          Kita mesti terus berusaha menawarkan pelbagai lagi tarikan menarik kepada pengunjung tempatan dan luar.

37.          Dan di sinilah nilai strategik projek pembangunan B5 Johor Street Market ini. Ia akan menjadi satu nilai tambah yang menarik kepada Johor.

38.          Tambahan pula B5 Johor Street Market ini menggabungkan 5 elemen utama iaitu  up town, makan dan minum, box park, food truck dan kebudayaan.

39.          Pada masa yang sama, akan dilakukan pelbagai aktiviti berjadual seperti persembahan kebudayaan, demonstrasi hasil seni dan kraftangan serta laman kreativiti.

40.          Kesemua ini akan digerakkan secara terancang agar ia bangkit sebagai satu pusat yang mesti dilawati oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke Johor. Tuan-tuan dan puan-puan,

41.          Dengan adanya B5 Johor Street Market ini kelak, saya berharap agar dapat disediakan beberapa lot bagi menjual cenderahati khusus yang menggambar identiti dan keunikan negeri Johor. Terutamanya oleh para artisan dan pengusaha tempatan.

42.          Kita angkat dan promosikanlah hasil-hasil dan barangan tempatan Johor.

43.          Selain itu, Kerajaan Negeri turut melihat projek B5 Johor Street Market ini dalam skop atau perspektif lebih luas.

44.          Selain menjadi pelengkap pembangunan pesat Pekan Tampoi dan sebagai tarikan baru pelancongan Johor, B5 Johor Street Market akan membuka peluang perniagaan kepada hampir 170 peniaga dan menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

45.          Malah, ia akan turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan memberi limpahan hasil yang lebih banyak kepada kawasan sekitar dan aktiviti-aktiviti di sekelilingnya.

46.          Impak B5 Johor Street Market akan dinikmati peniaga sedia ada di Pekan Tampoi menerusi peningkatan jumlah pengunjung dan pembinaan infrastruktur baharu.

47.          Kalau sekarang, mereka tutup kedai pada sebelah petang, tetapi apabila ada B5 Johor Street Market nanti, waktu perniagaan mereka sudah pasti akan berlanjutan hingga malam. Ia bukan sahaja mengembalikan kemeriahan kawasan ini. Tetapi akan menjadi satu inisiatif yang membantu meningkatkan pendapatan mereka berbanding sebelumnya.

48.          Malah, kita menjangkakan yang permintaan dan nilai hartanah di kawasan sekitar Tampoi juga boleh melonjak naik.

49.          Kesemua ini adalah kesan-kesan sampingan atau domino effects yang pastinya akan memberikan banyak manfaat kepada penduduk di sini.

50.          Malah, ketika mana projek ini masih dalam peringkat perancangan sekalipun, ia sudah menjadi rebutan dan permintaan ramai peniaga untuk terlibat dan berniaga di sini.

51.          Mengikut kaji selidik dan maklum balas yang diterima oleh Johor Corporation semasa Ekspo Johor Berkemajuan Oktober tahun lalu, mereka telah menerima hampir 500 borang daftar minat untuk berniaga di B5 Johor Street Market. Selain itu, hampir 10,000 netizen memberi reaksi positif melalui Facebook.

52.          Malah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut tertarik dengan pembangunan tersebut ketika diberikan penerangan semasa mengadakan lawatan ke tapak Ekspo Johor Berkemajuan 2017.

53.          Segala maklum balas dan penyataan rasa minat ini secara tidak langsung  menunjukkan pembangunan B5 Johor Street Market adalah satu idea yang sangat baik untuk dilaksanakan.

54.          Perkara ini sekali gus membidas dakwaan kononnya agenda pembangunan Johor hanya mementingkan projek-projek mega.

55.          Sedangkan, menjadi fokus serta aspirasi Kerajaan Negeri dan saya sendiri secara peribadi untuk melihat lebih ramai masyarakat Johor berniaga. Khususnya peniaga Bumiputera.

56.          Kerana, orang Johor ini suka meniaga. Orang Johor ini pandai meniaga.

57.          Jadi, Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan membuka raung seluas-luasnya untuk orang kita terus berniaga dan menjadikan perniagaan sebagai satu identiti besar negeri Johor. Tuan-tuan dan puan-puan,

58.          Untuk itu, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Johor Corporation serta anak syarikatnya Johor Land Berhad dan Damansara Assets Sdn Bhd yang  mencetuskan idea pembangunan B5 Johor Street Market serta berusaha menjadikan pembangunan ini satu realiti.

59.          Terima kasih juga saya ucapkan kepada SME Corporation Berhad, Tourism Johor, Yayasan Warisan Johor, Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor atas segala sokongan dan kerjasama yang berterusan.

60.          Saya sangat berbangga kerana agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan ini dapat bergabung untuk melaksanakan satu misi yang memberikan faedah kepada rakyat khususnya serta pembangunan negeri amnya.

61.          Akhir sekali, saya harap projek ini berjalan dengan lancar dan bakal mencapai matlamat serta sasaran yang kita letakkan. 62.          Saya sendiri secara peribadi amat teruja untuk melihat pekan Tampoi ini hidup dan meriah kembali.

63.          Maka dengan lafaz Bismillahi Rahmannirahim, saya dengan ini merasmikan Pelancaran B5 Johor Street Market.

 

Sekian,  Wabilahitaufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

______________________________________________________________________________

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Johor, Ahmad ‘Asri bin Khalbi, di talian 019-7287642 atau 07-2666354.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>