Teks Ucapan YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Besar Johor

Pada Majlis Pelancaran RMMJ Taman Nusa Central Anjuran Country View Group Berhad

Di Tapak Nusa Sentral Show Village, Iskandar Puteri

Pada Hari Sabtu, 13 Januari 2018 Jam 8.00 Malam


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

  • Terlebih dahulu, saya melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir dalam majlis yang cukup penting ini sempena pelancaran RMMJ Taman Nusa Central di Tapak Nusa Sentral Show Village, Iskandar Puteri pada hari ini.
  • Sekalung tahniah kepada Country View Group Berhad atas usaha dan kejayaan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri membangunkan perumahan mampu milik.
  • Kita juga mahu lebih banyak pemaju, para pemain industri serta sektor swasta, tampil dan menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama membina lebih banyak rumah mampu milik.
  • Terima kasih kerana menyahut dengan baik seruan dan saranan kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat Johor.
  • Nusa Sentral merupakan projek baharu yang dimajukan di atas tanah seluas 313 ekar dan berstatus hak milik kekal.
  • Nusa Sentral terletak di dalam kawasan Iskandar Puteri dan berhampiran dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar.
  • Berdekatan dengan kumpulan pembangunan Nusa Indah dan lain-lain projek kediaman seperti Horizon Hills, Bukit Indah dan Nusa Idaman menjadikan nilai tambah kepada projek baharu di Nusa Sentral untuk menawarkan kelebihan seperti kemudahan yang serba lengkap di sekitarnya.
  • Syukur Alhamdulillah, pembangunan 271 unit Rumah Mampu Milik Johor jenis teres dua tingkat berharga RM200,000 seunit (keluasan lantai 1400 kaki persegi) dan 66 unit Perumahan Komuniti Johor (PKJB) berharga RM80,000 seunit (keluasan lantai 850 kaki persegi) ini amat dialu-alukan, malah wajar menjadi ikutan kepada para pemaju perumahan lain.
  • Sehingga ke hari ini, saya difahamkan bahawa pihak Country View Group Berhad telah membangunkan beberapa kawasan di sekitar Johor, dengan sejumlah 10,990 unit  perumahan dan komersial telah berjaya dibina.
  • Selain itu, sejumlah 5,138 unit rumah mampu milik juga telah berjaya dibina untuk mereka yang menetap di Johor.
  • Dengan kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan pihak pemaju, pastinya kesemua perancangan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi kebaikan kesemua pihak terutama rakyat sebagai pembeli.
  • Di sebalik segala perkembangan dan kejayaan ini, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, perumahan akan terus menjadi agenda besar kita.
  • PERTAMANYA, dalam Bajet Johor 2018, kita telah menetapkan strategi Memantapkan Kemudahan Awam dan Melebarkan Ruang Kesejahteraan Rakyat.
  • Kita akan melaksanakan inisiatif itu agar rakyat benar-benar menerima keistimewaan dan manfaat dari segala dasar, kemudahan serta infrastruktur yang ada di Johor.
  • Yang miskin, disantuni dan diupayakan. Yang memerlukan, dibantu. Yang tiada tempat berteduh, ditawarkan rumah.
  • KEDUA, Kerajaan Negeri akan terus merangka strategi dan menambahbaik untuk menghadapi keperluan masa hadapan melalui pelbagai inisiatif dan dasar-dasar yang relevan.
  • Bagi membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memenuhi agenda rumah untuk rakyat, kerajaan negeri akan membina 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2023.
  • Ia merupakan tambahan kepada 40,000 unit daripada sasaran asal sebanyak 60,000 unit menjelang tahun 2020 yang diumumkan sebelum ini.
  • Bagi pihak kerajaan negeri, agenda perumahan akan terus menjadi keutamaan besar dalam memenuhi kehendak rakyat yang ingin memiliki rumah.
  • Sejak 2014 sehingga Oktober 2017, sebanyak 16,010 unit RMMJ telah berjaya disiapkan, melepasi 27% sasaran tersebut dalam tempoh hanya tiga tahun.
  • KETIGA, selain RMMJ, dalam pembentangan Bajet Johor 2018, Kerajaan Negeri telah menyarankan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memainkan peranan dalam penyediaan rumah-rumah sewa, bukan sahaja untuk kakitangannya, tetapi juga kepada golongan berpendapatan rendah.
  • Untuk tujuan tersebut, dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)  dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan mewujudkan Jabatan Perumahan, bagi menyediakan rumah sewa serta menyelenggara perumahan terbabit dengan peruntukan sebanyak RM75 juta.
  • Projek perintisnya adalah penyerahan Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di Tebrau kepada MBJB.
  • Yang bertujuan untuk mewujudkan peranan aktif PBT-PBT dalam menyediakan rumah-rumah sewa atau transit kepada penduduk yang tidak berkemampuan dan menyelenggara perumahan tersebut.
  • Dan yang KEEMPAT, kita juga memperkenalkan Program Rumah Transit Belia Johor juga diperkenalkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perumahan Negara di bawah Program Rumah Transit 1Malaysia (RT1M), untuk memberi kemudahan perumahan sementara kepada belia berumur 18 hingga 30 tahun yang sudah berkahwin.
  • Malah, kerajaan negeri juga akan membeli unit-unit kediaman tambahan untuk ditawarkan di bawah skim sewa beli atau Skim Jauhar Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM30 juta pada tahun depan.
  • Semua usaha-usaha yang saya sebutkan tadi adalah bukti betapa Kerajaan benar-benar berusaha memastikan rakyat dapat membina kehidupan yang sempurna.  Dan caranya adalah melalui kemudahan dan peluang bagi memilik rumah kediaman.
  • Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan agenda perumahan Johor ini.
  • Akhir kata, saya dengan sukacitanya melancarkan Rumah Mampu Milik Johor di Taman Nusa Sentral.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufiq Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Johor, Ahmad ‘Asri bin Khalbi, di talian 019-7287642 atau 07-2666354.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>