TEKS UCAPAN YAB. DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN, MENTERI BESAR JOHOR

PADA MAJLIS PENYERAHAN KUNCI DAN CABUTAN UNIT BAGI PEMILIKAN RUMAH MAMPU MILIK JOHOR (RMMJ) OLEH SP SETIA BERHAD DI SETIA BUSINESS PARK II

JUMAAT, 4 OGOS 2017 & JAM 10.45 PAGI


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

Yang Berhormat Datuk Haji Md Jais b. Sarday,

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Negeri Johor;

Yang Berhormat Datuk Haji Maulizan b. Bujang,

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahagian Tebrau;

YB Dato’ Haji Azmi b. Rohani,

Setiausaha Kerajaan Johor;

Y.Bhg Tuan Haji Muhammad Fuad b. Radzuan,

Pegawai Daerah Johor Bahru;

Y.Bhg Tan Sri Dato Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin,

Pengerusi SP Setia Berhad;

Y.Bhg Datuk Khor Chap Jen,

Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd;

En Stanley Saw Kim Suan,

Pengurus Besar Serantau Bahagian Selatan SP Setia Bhd;

Dif-dif jemputan;

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

  1. Terlebih dahulu, saya melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir dan berkumpul di dalam majlis yang cukup penting ini.
  2. Sempena Majlis Pelancaran Serah Kunci Dan Cabutan Undi Bagi Pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Setia Business Park II pada hari ini.
  3. Sekalung tahniah kepada syarikat SP Setia Berhad atas usaha dan kejayaan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri membangunkan perumahan mampu milik
  4. Usaha sebegini tentulah amat dialu-alukan, malah wajar menjadi ikutan kepada para pemaju perumahan lain.
  5. Kita mahu lebih banyak pemaju, para pemain industri serta sektor swasta, tampil dan menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama membina lebih banyak rumah mampu milik.
  6. Dan alhamdulillah, hari ini, kita akan membuat cabutan undi serta menyerahkan kunci melibatkan sejumlah 300 unit rumah RMMJ.
  7. Ini membabitkan unit Rumah Teres RMMJ 2-Tingkat Jenis Kluster Sri Senja dan Sri Embun.
  8. Jadi, terima kasih SP Setia Bhd kerana berjaya menyiapkan projek ini dalam tempoh masa yang ditetapkan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Kediaman adalah perkara asas dan penting bagi setiap orang. Dengan adanya kediaman, maka terbinalah kehidupan yang sempurna.
  2. Ia menjadi titik tolak kepada terbinanya sebuah masyarakat. Ia adalah cerminan atau tanda aras tahap dan kualiti kehidupan yang sejahtera.
  3. Kerana, sebuah tempat perlindungan yang baik dan bermutu, yang selamat dan yang sesuai dengan keperluan setiap individu, merupakan asas utama membina sesebuah kehidupan.
  4. Oleh sebab itulah, penyediaan rumah mampu milik merupakan fokus utama kita di Johor. Malah, ia merupakan antara inisiatif dan agenda terbesar Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dan ia akan terus menjadi agenda besar kita.
  5. Perkara ini kita lakukan dengan dipimpin oleh beberapa kesedaran dan faktor penting.
  6. PERTAMA, rumah atau kediaman sendiri adalah kunci yang membuka ruang kesejahteraan, keharmonian dan keluhuran kehidupan sesebuah masyarakat.
  7. Di mana-mana jua kita pergi di seluruh dunia, kegagalan menyediakan kediaman sering mengundang pelbagai konflik dan kegusaran di kalangan khalayak terbanyak.
  8. Malah, dalam pelbagai kajian dan pengamatan, didapati bahawa banyak masalah sosial dan penyakit masyarakat berpunca dari ketiadaan rumah yang selesa dan selamat untuk sesebuah keluarga.
  9. Pastinya suasana sebegini akan turut menjejaskan kerukunan hidup. Sekaligus merencat pembangunan dan kemajuan.
  10. KEDUA, pembangunan dan kemajuan sesebuah negeri dan negara bukan sekadar terletak pada pencapaian ekonomi yang bersifat material dan kebendaan sahaja.
  11. Tetapi ia harus bersandarkan kepada penzahiran manfaat dan kualiti kehidupan rakyat. Dan sandaran paling mudah adalah keupayaan untuk memiliki rumah sendiri.
  12. Masyarakat yang mempunyai asas kehidupan yang kukuh dan selesa, akan membolehkan ekonomi berkembang dengan sihat dan positif.
  13. Kerana itulah, di sebalik sasaran untuk menjadi kuasa ekonomi selatan negara, Kerajaan Negeri pada masa yang sama, berusaha keras untuk mencapai sasaran membina sehingga 60 ribu unit rumah mampu milik menjelang 2019.
  14. Kerana kita percaya, kemakmuran dan perolehan ekonomi harus bergerak seiring dengan kesejahteraan hidup. Dan perkara ini akan kita jayakan dengan sebaik-baiknya.
  15. Kita berpendirian bahawa, hasrat menjadi negeri dan masyarakat yang terbaik tidak akan tercapai sepenuhnya, sekiranya kita gagal menyediakan keperluan paling asas untuk rakyat.
  16. Maka atas sebab itulah, saya serta barisan kepimpinan negeri tetap teguh membina iltizam dan semangat untuk terus berusaha menyediakan rumah kediaman demi kesejahteraan rakyat.
  17. Namun, bercakap tentang menjayakan inisiatif ini dengan sebaiknya, saya mempunyai beberapa penegasan dan perkara yang saya kongsikan dengan semua pihak, khususnya pihak pemaju.
  18. Selain menyiapkan projek RMMJ dalam masa yang ditetapkan, dengan kualiti yang baik, dan harga yang berpatutan, saya kira ada satu lagi perkara penting yang kalian harus berikan perhatian serius.
  19. Iaitu keperluan untuk kita sama-sama menghebahkan segala usaha murni dalam agenda perumahan ini dengan seluas-luasnya kepada masyarakat umum di luar sana.
  20. Biar saya terangkan mengapa perkara ini penting.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Dua tiga hari yang lalu, ada suara-suara sumbang yang berkokok, mengecam Kerajaan Negeri.
  2. Kononnya Kerajaan Negeri tidak memberi perhatian kepada agenda perumahan. Kononnya Kerajaan Negeri tidak mementingkan keperluan masyarakat kelas pertengahan dan bawah.
  3. Kononnya agenda perumahan di Johor berada dalam keadaan yang teruk, kritikal dan tidak diberikan perhatian yang serius.
  4. Serta bermacam-macam lagilah tuduhan yang dilemparkan. Seolah-olah tiada yang baik tentang agenda perumahan di Johor.
  5. Seolah-oleh tidak ada pihak yang bekerja keras untuk memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina di Johor.
  6. Perkara ini mengajar kita 2 perkara.
  7. Pertama, ia menunjukkan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang seakan tidak pernah mengikuti perkembangan di Johor. Apatah lagi untuk menyambut baik dan menghargai segala usaha yang kita lakukan untuk memperbanyak pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat Johor.
  8. Kedua, kecaman-kecaman sebegini, bukan sahaja tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, malah disiarkan dan dikeluarkan di media. Ia bertujuan mempengaruhi persepsi masyarakat umum. Ia berniat memburuk-burukkan kita, Kerajaan Negeri, Pemaju dan semua pihak.
  9. Kedua-dua perkara ini bukanlah perkara yang baik dan bertanggungjawab. Ia mesti dipatahkan. Ia mesti dihentikan.
  10. Jadi, saya gesa kerjasama semua pihak untuk membetulkan keadaan. Semua pihak mesti memainkan peranan masing-masing.
  11. Kepada para pemaju, ambillah langkah proaktif untuk menyebar luaskan segala inisiatif yang baik ini kepada lebih ramai masyarakat di luar sana.
  12. Gunakanlah pasukan komunikasi korporat kalian untuk menjernih dan membetulkan persepsi salah masyarakat yang mungkin telah terkeliru dengan segala tuduhan negatif yang tidak benar ini.
  13. Kerana, jika kita membiarkan segala kecaman dan tohmahan liar dan tidak berasas dari pembangkang tentang kesungguhan kita membangunkan agenda RMMJ di Johor, ini bermakna, kalian turut membiarkan segala inisiatif seperti hari ini menjadi sia-sia.
  14. Sedangkan ini adalah usaha dan komitmen yang juga besar di pihak pemaju sendiri.
  15. Kepada para pengamal media, yang hadir di sini, atau yang berada di luar sana. Bantulah kami untuk terus melaporkan dengan lebih banyak inisiatif yang baik. Agar, masyarakat mendapat maklumat yang betul, yang tepat.
  16. Kerana, tanpa laporan dan sokongan yang baik dari pihak media juga, segala inisiatif ini tidak akan benar-benar dirasai oleh kumpulan sasar kita.
  17. Kepada para penerima dan pembeli rumah mampu milik Johor, kongsikanlah berita gembira ini dengan keluarga, dengan saudara mara, dengan sahabat handai, dengan sesiapa sahaja yang ingin tahu tentang RMMJ. Agar mereka mempunyai tanggapan yang benar tentang usaha besar ini.
  18. Dan yang terakhir, kepada semua anggota masyarakat di luar sana, terutamanya mereka yang selalu menangguk di air keruk dan hanya pandai menghentam Kerajaan Negeri, hanya satu saya seru.
  19. Lihat dan nilailah kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam menjayakan agenda perumahan mampu milik ini dengan adil, matang dan terbuka.
  20. Jangan memilih kasih dan bersikap tidak adil.
  21. Jangan jadi mereka yang hanya mencari kesalahan dan kekurangan. Kerana, jika itu yang anda cari dan fokuskan, saya akui, anda akan temui kekurangan dan kelemahan.
  22. Saya tidak akan bersikap apologetic atau over defensive untuk tidak mengakui bahawa sememangnya ada kelemahan dan kekurangan di sana sini dalam agenda perumahan kita.
  23. Saya tidak akan sesekali mendakwa bahawa ia sempurna dan sudah berada pada tahap yang tidak memerlukan penambahbaikan. Itu adalah tidak logik, dan tidak bertanggungjawab.
  24. Namun, yang saya ingin tekankan sekali, akuilah bahawa wujud iltizam yang kuat dan kesungguhan yang berterusan yang kita pamerkan selama ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Sebelum berakhir, kepada semua penerima kunci serta penerima cabutan undi lot rumah pada hari ini, saya amat gembira dan berkongsi rasa bahagia tersebut.
  2. Gunakanlah tempat perlindungan yang baik ini, untuk membina keluarga yang baik.
  3. Semoga dengan rumah yang sempurna ini, akan lahir dan terbentuk generasi-generasi yang cemerlang, yang baik dan yang akan meneruskan nilai kekeluargaan dan kemajuan kita, zaman bersilih ganti.
  4. Akhir sekali, sekali lagi tahniah dan penghargaan juga tidak dilupakan kepada pihak SP Setia Bhd di atas segala daya usaha yang dilaksanakan.
  5. Juga terima kasih dan sekalung tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya usaha ini, baik secara langsung mahupun sebaliknya.
  6. Semoga usaha kita membina kehidupan ini, akan terus dipermudahkan oleh Allah SWT dan terus diberkatiNya jua, amin ya rabbal alamin.
  7. Maka dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahnmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Serah Kunci Dan Cabutan Undi Bagi Pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Setia Business Park II Sekian,
  8. Terima kasih. Wabillahitaufikwalhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>