UCAPAN YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN, MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PERASMIAN PUBLISITI DAN PENYERTAAN AWAM LAPORAN TINJAUAN, RANCANGAN STRUKTUR NEGERI JOHOR 2030 (KAJIAN SEMULA).

PADA 1 OGOS 2017 (SELASA) 2.30 PETANG

PERSADA JOHOR INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE,  JOHOR BAHRU


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor,

 

Yang Berhormat Tan Sri Mohamad bin Haji Aziz,

Speaker Dewan Negeri Johor;

 

Yang Berhormat Exco-Exco Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor;

 

Yang Berbahagia Dato’ Zainuddin bin Ahamad,

Ketua Pengarah, PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia);

Yang Berusaha, Dr. Shamsaini binti Shamsuddin,

Pengarah, PLANMalaysia@Johor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor);

 

Yang Berusaha Datuk Bandar, Pegawai Daerah, Tuan-tuan Yang Dipertua, Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan persekutuan,  Ahli-Ahli Majlis, Agensi-agensi Kerajaan, Pemaju-pemaju Perumahan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat, Wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan dan seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian;

 

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati Sekalian,

  1. Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan dan limpah kurnia-Nya Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam, Peringkat Laporan Tinjauan Bagi Rancangan Struktur Negeri Johor 2030 (Kajian Semula) ini dapat kita laksanankan.
  2. Marilah kita mendoakan semoga Negeri Johor Darul Ta’zim yang tercinta ini sentiasa dilindungi Allah S.W.T dan kekal dalam keadaan aman, harmoni dan tenang.
  3. Dan semoga acara kita pada hari ini akan mencapai matlamat untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Berdasarkan prestasi pembangunan ekonomi negeri, Johor telah menyumbang kepada KDNK Negara dalam tahun 2015 berjumlah RM98,880 juta iaitu merupakan kuasa kedua (ke-2) terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Selangor – Wilayah Persekutuan.
  2. Kecemerlangan ini hendaklah dipertingkatkan dan terus dikekalkan. Namun, pada masa yang sama, perancangan pembangunan kita mestilah teliti dan prihatin. Ia tidak boleh dilakukan secara melulu dan semberono.
  3. Oleh itu, salah satu daripada usaha untuk memastikan pembangunan Johor terancang dan baik adalah dengan melakukan Kajian Rancangan Struktur Negeri Johor 2030 (Kajian Semula).
  4. Dan kajian ini telah pun bermula pada 1 Ogos 2016 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, di bawah peruntukan Seksyen 11, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
  5. Ia secara asasnya menjelaskan bahawa pengubahan atau kajian semula kepada sesuatu Rancangan Struktur hendaklah dibuat setiap lima tahun, seiring dengan penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negeri.
  6. Rancangan Struktur Negeri juga sebenarnya merupakan satu dokumen statutori yang mengandungi pernyataan bertulis yang menerangkan dasar-dasar dan cadangan strategik peringkat negeri berkenaan dengan pemajuan dan penggunaan tanah kawasan dalam bandar dan luar bandar.
  7. Bagi negeri Johor, Rancangan Struktur Negeri Johor 2020, yang kini sedang berkuatkuasa, telah disediakan pada tahun 2001 dan telah diwartakan pada 3 Januari 2008.
  8. Walaubagaimanapun, adalah menjadi keperluan untuk segala maklumat serta data-data perancangan yang terkandung di dalam dokumen ini, disemak dan dikemaskini.
  9. Dan terdapat beberapa sebab perkara ini dilakukan. Pertama, ia memberi ruang kepada cadangan-cadangan pembangunan pada masa hadapan dengan lebih bersesuaian serta selari dengan kerancakan perubahan pembangunan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
  1. Terutamanya kita di Johor. Banyak agenda serta pelan pembangunan mega dan perubahan-perubahan dasar yang sedang dan telah berlaku di seluruh Johor.
  2. Misalnya, Wilayah Iskandar Malaysia, persempadanan semula dan pembentukan Daerah Kulai, Tangkak serta penubuhan PBT Pengerang.
  3. Malah, Johor juga sedang menyaksikan pembangunan pelbagai projek mega di kebanyakan daerah yang memberi impak kepada halatuju pembangunan Negeri Johor secara keseluruhannya.
  4. Selain itu, Johor dilihat mempunyai potensi oleh banyak pihak melalui pelbagai pelan perancangan pembangunan yang disediakan di Peringkat Persekutuan dan Peringkat Negeri. Misalnya, Pelan Pertumbuhan Strategik Johor atau PPSJ.
  5. Kedua, pelan pembangunan serta projek mega di Johor mestilah mengambil kira kesan dan keperluan jangka panjang.
  6. Ia tidak boleh hanya dirancang berdasarkan keperluan dan strategi 3 hingga 5 tahun sahaja. Tetapi, mestilah diunjurkan menjangkau tempoh yang jauh lebih lama. Kita mesti merancang untuk tempoh 30 hingga 50 tahun ke hadapan.
  7. Ketiga, perancangan bandar dan agenda pembangunan kita mestilah turut meneroka cara yang inovatif untuk menyelesaikan masalah tempatan.
  8. Ia tidak hanya boleh dipacu oleh keuntungan dan keperluan sesetengah pihak. Sedangkan masalah dan isu penduduk serta kawasan setempat yang terlibat tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Pendekatan sebegini tidak boleh dibiarkan berlaku di Johor.
  9. Misalnya, pengenalan dan perluasan perkhidmatan bas percuma Muafakat Johor. Malah, mungkin sudah tiba masanya untuk setiap projek pembangunan kita melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, khususnya di pihak swasta seperti pengusaha Grab Car dan
  10. Secara tidak langsung, idea inovatif seperti ini akan membantu masalah pengangkutan awam di sesuatu kawasan yang pesat pembangunannya.
  11. Kita bukan sahaja mahu memantapkan kesejahteraan persekitaran kita. Malah, kedudukan Johor sebagai gerbang selatan negara terus diperkukuhkan.
  12. Peranan pelabuhan-pelabuhan serta lapangan terbang sedia ada mesti dilonjakkan ke tahap dan kelas antarabangsa.
  13. Keempat, agenda pembangunan mestilah turut mengambil kira realiti masa hadapan.
  14. Kedinamikan serta keanjalan corak kehidupan dalam realiti masa depan akan menentukan sama ada sesuatu pembangunan yang dilakukan hari ini kekal relevan atau sebaliknya.
  15. Jadi, kita tidak boleh merancang dan membuat pembangunan tanpa mengambil kira bentuk dan cara hidup masa depan.
  16. Kelima, kita mesti memahami bahawa pembangunan ini tidak semestinya tentang pembukaan kawasan baharu semata-mata.
  17. Ia juga boleh berlaku dalam beberapa bentuk yang lebih lestari.
  18. Misalnya, pertama, membangunkan atau menyusun semula sesuatu kawasan. Proses ini dalam aspek perancangan spatial dan seni bina dipanggil renegeration. Iaitu inisiatif membangunkan semula sesuatu kawasan yang sudah padat dan sesak dengan memasukkan elemen-elemen baharu yang boleh menjadikan kawasan tersebut lebih selesa dan lestari.
  19. Kedua, memulih, mengambil alih serta menghidupkan semula projek-projek terbengkalai. Ia bukan sahaja akan mengelakkan pembaziran serta kewujudan kawasan yang tidak selamat. Tetapi membolehkan sesuatu proses guna tanah dan pembangunan kawasan tersebut dapat dioptimumkan.
  20. Keenam dan terakhir, saya kira, selain daripada pelan pembangunan yang strategik, lestari dan sesuai dengan keperluan, aspek pembiayaan juga mesti diberikan perhatian.
  21. Agenda pembangunan kita mesti meneroka instrumen pembiayaan dari pelbagai cara dengan melibatkan lebih banyak pihak.
  22. Kita tidak boleh hanya terus mengharapkan kerajaan untuk membiaya dan meneraju segala proses pembangunan. Kerajaan mempunyai sumber dan dana yang terhad.
  23. Jadi, semua pihak mesti bersama-sama mencari jalan untuk menangani kekurangan ini dengan merangka satu bentuk kerjasama yang lebih pragmatik dan tidak membebankan mana-mana pihak.
  24. Ia bukan sahaja akan mengelakkan kelewatan akibat ketidakcukupan dana, malah boleh meningkatkan rasa kebertanggungjawaban dan kepunyaan di kalangan pelbagai pihak.
  25. Jadi, selain daripada asas perundangan dan kepatuhan kepada polisi kerajaan persekutuan, 6 perkara yang saya sebutkan ini turut menjadi faktor yang menuntut kepada keperluan dan kepentingan kajian ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sistem Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pelancaran Rancangan Fizikal Negara (RFN) ke-3, Dasar Perbandaran Negara (DPN-2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara baru-baru ini mesti diberikan perhatian oleh kita semua.
  2. Bagi kita di Johor, perkara ini kita terjemahkan melalui perancangan spatial peringkat negeri. Ia akan menjadi rangka bagi pembentukan Rancangan Struktur Negeri 2030 (Kajian Semula) ini.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Dalam mencapai Gagasan Johor Berkemajuan, Negeri Johor perlu mendepani semua cabaran ini dan merangka halatuju yang tersusun, jelas dan terarah.
  2. Ikrar dan tekad kerajaan Johor di bawah pentadbiran saya mudah. Kita akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, kita akan memastikan kekuatan daerah-daerah di Negeri Johor tanpa meminggirkan kelebihan aset semulajadi negeri.
  3. Untuk makluman semua Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Rancangan Struktur Negeri Johor 2030 (Kajian Semula) peringkat Laporan Tinjauan ini akan dijalankan bermula 1 Ogos 2017 pada hari ini sehingga 1 September 2017 nanti. Segala input dan maklumbalas perlu disampaikan dalam tempoh program ini berlangsung.
  4. Jadi, saya sangat berharap semua pihak akan memberi input dan maklumbalas yang jujur, konstruktif dan inovatif ke arah memantapkan asas pembentukan strategi dan inisiatif pelaksanaan yang berkesan.
  5. Saya percaya ulasan dan pandangan daripada warga Johor berkenaan penemuan Laporan Tinjauan ini boleh diketengahkan serta dipertimbangkan dalam merangka perancangan negeri yang menyeluruh.
  6. Sebelum berakhir, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada PLANMalaysia dan PLANMalaysia@Johor serta semua pihak yang telah menjayakan program ini, sama ada secara langsung atau tidak. Semoga Allah memberi kita laluan keberhasilan yang diharapkan.
  7. Akhir sekali dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Peringkat Laporan Tinjauan Rancangan Struktur Negeri Johor 2030, (Kajian Semula).

 

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi, Wabarakatuh.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>