PERSEMBAHAN UCAPAN YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN MENTERI BESAR JOHOR BERSEMPENA MAJLIS PERLEPASAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2017

9 SEPTEMBER 2017, DATARAN BANDARAYA JOHOR BAHRU


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim

Dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor.

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,

Segala Puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada junjungan besar  Nabi Muhammad SAW.

Patik mewakili Kerajaan Negeri, dengan penuh hormat takzimnya merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kerana berkenan bercemar duli berangkat ke  Majlis  Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2017 pada pagi ini.

Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan:

Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor; dan Yang Mulia Che Puan Khaleeda binti Bustamam;

Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim;

Tunku Temenggong Johor;

Paduka Putera-Putera dan Puteri serta kerabat-kerabat Diraja sekalian.

Patik berdoa, semoga Kembara Mahkota Johor pada kali ini berjalan dengan lancar, berjaya dan mencapai matlamat penganjurannya. Semoga dengan limpah rahmat dari Allah Yang Maha Esa, Kembara Mahkota Johor 2017 akan selamat hingga akhirnya.

 

Ampun Tuanku,

Seterusnya, patik dengan segala hormat dan takzimnya memohon perkenan Tuanku, untuk menyampaikan ucapan kepada hadirin sekalian.

 

Ampun Tuanku,

Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahim bin Ramli,

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor;

Yang  Berhormat Tan Sri Mohamad bin Haji Aziz,

Speaker Dewan Negeri Johor;

Yang  Berhormat Dato’ Azmi bin Rohani,

Setiausaha Kerajaan Johor;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor;

Yang Berhormat Ahli-ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor;

Dif-dif jemputan;

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya, dapat kita berkumpul bersama-sama pada Majlis Perlepasan Kembara Mahkota Johor 2017 pada hari ini.

Setiap tahun, seluruh rakyat Johor senantiasa menunggu kedatangan hari yang istimewa ini. Kerana, pada hari ini bermulalah acara tahunan yang amat kita nanti-nantikan iaitu Kembara Mahkota Johor.

Seperti sebelumnya, Kembara Mahkota Johor sentiasa sarat dengan pelbagai pengisian yang menarik dan kreatif. Yang menjadikan ia acara yang sangat unik dan telah menjadi identiti serta jenama besar bukan sahaja kepada seluruh Bangsa Johor. Malah, rakyat Malaysia keseluruhannya.

Namun, di sebalik segala keistimewaan dan pengisian yang menarik ini, kita jangan sesekali lupa falsafah besarnya. Kembara Mahkota Johor ini mempunyai simbolik dan makna yang sangat mendalam dan transformatif.

PERTAMA, ini adalah salah satu cara institusi Diraja dan Istana Johor mendekati rakyat dan bangsa Johor.

Ini adalah manifestasi raja dan rakyat berpisah tiada. Ia menterjemahkan keakraban raja dengan rakyat. Ruang rakyat mempamerkan kasih dan sayang mereka pada raja yang satu-satunya.

Ia telah memperkukuhkan identiti yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan luar biasa dampaknya kepada keluarga diraja Johor.

Dan yang lebih penting ia menjadi simbol bahawa istana bergerak seiring peredaran zaman. Menjadi sangat inklusif, sangat merakyat.

Kembara ini memecah tembok feudal dan memodenkan institusi beraja.

Melalui kembara ini, rakyat di seluruh pelosok negeri ini akan disantuni oleh DYMM Tuanku sendiri.

Melalui kembara ini, istana dan raja yang menjadi payung kepada kita semua,  akan mencemar duli, berangkat berkunjung mendekati rakyat.

Ia memperlihatkan keprihatinan, kepedulian dan rasa kasih keluarga DiRaja kepada sekalian rakyat Johor.

Pastinya pengalaman seumpama ini bukan sahaja menimbulkan rasa gembira pada rakyat, tetapi juga rasa rendah diri.

Rasa rendah diri yang menerbitkan perasaan kasih yang tulus serta patriotisme yang membara kerana disantuni secara langsung oleh DYMM Tuanku Sultan.

KEDUA, melalui Kembara Mahkota Johor inilah, tercetusnya pelbagai nasihat, teguran serta saranan yang baik dan bernas daripada DYMM Tuanku Sultan Johor kepada pihak Kerajaan Negeri. Khususnya dalam menambah baik segala dasar dan agenda pembangunan Johor.

Banyak sekali agenda pembangunan yang kita rancang dan susun di Johor selama ini adalah hasil idea dan saranan baik DYMM Tuanku Sultan Johor.

Melalui acara ini juga, DYMM Tuanku Sultan berpeluang meneliti dan mengamati sendiri segala perkembangan serta pembangunan yang sedang rancak berlaku di seluruh negeri Johor pada hari ini.

Malah, suka saya tegaskan bahawa sejak diperkenalkan 17 tahun lalu, Kembara Mahkota Johor adalah salah satu acara yang menjadikan hubungan di antara istana, Kerajaan Negeri dan rakyat jelata semakin akrab, mesra dan kukuh.

Sesungguhnya, Kerajaan Negeri berasa berbangga dan bertuah kerana berpeluang dan diberikan penghargaan untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang bersama-sama menjayakan acara ini.

Dan KETIGA, Kembara Mahkota Johor ini adalah cara Johor mempamer dan mempertahankan peradaban bangsanya.

Bangsa Johor sememangnya dikenali dengan budaya dan identitinya yang istimewa dan tersendiri. Dan Kembara Mahkota Johor ini pastinya salah satu daripada identiti besar tersebut yang amat kita banggakan.

Ia merupakan acara yang menimbulkan rasa dekat dan rasa kepunyaan kita Bangsa Johor kepada negeri ini. Ia adalah acara yang menjadi peringatan kepada semua Bangsa Johor akan keunikan warisan dan tradisi negeri ini.

Seharusnya kita semua rakyat jelata di negeri Johor, melihat dan meraikan acara tahunan ini bukan sahaja dengan penuh rasa bangga. Tetapi juga dengan penuh rasa patriotik dan kecintaan kepada negeri Johor.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Marilah kita mengambil peluang bersejarah ini untuk keluar dan menyaksikan acara yang menarik dan penuh makna ini.

Lebih-lebih lagi, edisi kembara sepanjang 808 kilometer kali ini bakal menyaksikan penggunaan kenderaan Morgan milik DYMM Tuanku sambil diiringi rombongan motosikal Harley Davidson seperti edisi-edisi awal dahulu.

Oleh itu, gunakanlah ruang dan peluang ini untuk kita bertemu dan menyumbang kepada pengukuhan hubungan dengan istana yang memayungi kita semua.

Dan yang lebih penting, marilah kita semua rakyat Johor mengambil peluang mengirimkan doa dan ingatan yang tulus. Agar Kembara Mahkota Johor edisi kali ini akan berjalan lancar, dirahmati serta diberkati oleh Allah SWT, Insha-Allah.

Ampun Tuanku,

Sekianlah persembahan ucapan patik.

Patik dan seluruh Bangsa Johor berdoa ke hadrat Allah SWT, agar Tuanku berserta rombongan, selamat berangkat dan kembali.

Semoga Tuanku sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, dilanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku, berkekalan bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim dan agar dilanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor;

Patik juga berdoa agar dilanjutkan usia Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor; dan Yang Mulia Che Puan Khaleeda Binti Bustamam; 

Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Hj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor;

Paduka Putera-Putera dan Puteri, serta kerabat-kerabat Diraja sekalian;

Semoga dengan izin dan rahmat dari Allah SWT, tahun ini akan terus mencatatkan kemakmuran dan pencapaian cemerlang kepada Negeri Johor yang berdaulat ini.

Semoga Negeri Johor Darul Ta’zim terus maju, kekal, aman dan makmur di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Amin ya rabbal alamin.

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Ampun Tuanku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>