Oleh Mohamed Khaled Nordin

Johor secara konsisten, bercita-cita besar ingin menjadi kuasa ekonomi baharu negara dan serantau serta mempergiat pembangunan negeri yang sejahtera, seimbang dan inklusif. Bajet Johor 2018 yang dibentangkan Khamis lalu berusaha menterjemah aspirasi besar ini dengan meneruskan iltizam bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan mencapai kemajuan bermakna pada masa hadapan seperti dalam gagasan Johor Berkemajuan.

Bajet yang memperuntukkan RM1.5 bilion ini mengambil tema “Membangun Dekad Baharu yang Sejahtera untuk Johor”. Tema ini mengutarakan misi baharu bagi membangunkan Johor menjadi negeri paling membangun dan sejahtera dalam tempoh 10 tahun akan datang, iaitu menjelang 2028.

Hasrat ini mempunyai asas yang kukuh. Sejak tahun 2011 sehingga 2016, pertumbuhan ekonomi Johor melepasi kadar direkodkan untuk Malaysia setiap tahun, dengan purata pada 5.9% berbanding 5.1% bagi Malaysia. Pencapaian ini mendorong Johor menentukan lonjakan baharu yang radikal dan transformatif, yang akan memberikan wajah baharu kepada iklim ekonomi dan landskap kesejahteraan rakyatnya. Dorongan dan lonjakan baharu ini akan dijayakan melalui misi Membangun Dekad Baharu untuk Johor atau ringkaskan Dekad Baharu Johor.

Melalui misi ini, dalam masa sepuluh tahun akan datang, Johor akan menyaksikan dekad yang penuh dengan pertumbuhan ekonomi yang agresif dan peningkatan kesejahteraan rakyatnya secara transformatif sekaligus merealisasikan visi besar Johor Yang Berkemajuan. Memandangkan misi Dekad Baharu Johor ini adalah pertama kali diperkenalkan, baik kiranya misi ini diperjelaskan. Apakah kelebihan Johor dan apakah peluang yang Johor boleh manfaatkan? Secara ringkas, misi ini dibangunkan atas enam faktor.

Pertama, dalam masa sepuluh tahun akan datang, Johor akan dibangunkan pada skala besar-besaran khususnya dalam aspek prasarana yang kemas, moden, terancang, terhubung serta yang menggambarkan kedudukan Johor dalam abad ke 21. Pembangunan prasarana seperti Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-JB-Singapura, Projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor Bahru dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan BRT dalam kawasan Iskandar Malaysia akan menjadikan Johor sebagai negeri yang mempunyai prasarana terbaik, komprehensif dan mapan menjelang 2028.

Kedua, Dekad Baharu Johor mensasarkan perubahan drastik struktur ekonomi Johor. Ekonomi Johor mesti dipacu oleh idea besar, kreativiti, teknologi dan inovasi. Kita akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital, ekonomi kreatif dan ekonomi hijau secara besar-besaran di samping memberikan lonjakan baharu kepada ekonomi tradisional.

Ketiga, Dekad Baharu Johor akan menyaksikan transformasi sistem, budaya kerja dan norma kehidupan kepada kerajaan dan masyarakat digital. Kita akan menjadikan Johor sebuah negeri pintar yang memanfaatkan penggunaan teknologi secara radikal. Ini termasuk memastikan dasar dan program kerajaan digubal bersandarkan data dan dapatan empirikal. Ini bermakna,kKerajaan akan beroperasi dengan mengoptimumkan penggunaan data raya.

Keempat, Dekad Baharu Johor akan menyaksikan usaha besar-besaran untuk memastikan setiap putera-puteri Bangsa Johor, dibangunkan kemahirannya secara bersepadu. Kita berazam adalah setiap keluarga di Johor mesti mempunyai sekurang-kurangnya satu graduan atau mereka yang berkemahiran tinggi. Bukan itu sahaja, kita juga bercita-cita menjadikan Johor negeri tarikan dan tumpuan bakat-bakat terbaik rantau Asia Tenggara apabila mereka datang bekerja dan memilih Johor sebagai tempat bermastautin, membangun perniagaan dan membina kehidupan di sini.

Kelima, Dekad Baharu Johor adalah dekad yang hijau dan lestari. Kelestarian akan menjadi penanda aras setiap projek pembangunan di Johor. Lebih banyak pokok akan ditanam, lebih banyak kawasan hutan dipulihara dan dipelihara, lebih banyak sungai dibersihkan, lebih banyak pantai dipulihkan. Semua pelaburan mesti mengambil kira aspek kelestarian dan ini termasuk gaya hidup masyarakat yang mesti berubah agar menjadi lebih mapan dan lestari.

Keenam, Dekad Baharu Johor akan menyaksikan kesejahteraan dan kualiti hidup ditingkatkan. Dekad Baharu Johor akan berusaha memastikan institusi keluarga Johor akan semakin kukuh, gejala sosial semakin menurun, indeks jenayah akan menjunam secara signifikan dan jurang kualiti hidup bandar dan luar bandar akan menjadi yang terbaik di Malaysia. Johor sedekad dari sekarang diharap akan terbangun sebagai negeri yang sangat berbudaya, Islami, mendukung dengan bangganya struktur masyarakat yang majmuk dan lebih erat perpaduannya.

Jelasnya, Bajet Johor 2018 bukanlah sekadar bajet biasa tetapi terjemahan pemikiran ke hadapan negeri. Melalui 153 titik sentuhan (berbanding 127 titik sentuhan dalam Bajet 2017) yang disusun mengikut lima strategi khusus, Johor akan dibangunkan secara tersusun, pintar dan komprehensif. Tidak ada satu perkara pun yang dicicirkan kerana segala potensi dan bakat yang dimiliki oleh Johor perlu dibangun dan upayakan.

Bajet Johor kali ini paling banyak memperkenalkan program dan inisiatif untuk kesejahteraan rakyat. Ini termasukkan menaik taraf sosio-ekonomi rakyat, meningkatkan tahap ilmu dan kemahiran anak muda dan memastikan ekosistem dan sistem sokongan yang sangat kondusif kepada kehidupan Bangsa Johor.

Bajet Johor 2018 adalah bajet terakhir negeri sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-14 dilaksanakan. Dengan kepemimpinan yang bersandarkan prestasi, Johor telah menjadi sebuah negeri paling berdaya saing di Malaysia. Malah, tidak ada sehari pun yang berlalu, tanpa saya dan kerajaan negeri Johor memikirkan bagaimana hidup rakyat perlu menjadi lebih baik dan berkesejahteraan.

Justeru, saya dan kepemimpinan Johor wajar diberi mandat sekali lagi untuk terus memimpin Kerajaan Negeri selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. Insya Allah, amanah ini akan digalas dengan sebaiknya demi agama, bangsa dan negara.

Penulis ialah Menteri Besar Johor Darul Ta’zim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>