Kita perlu menerima hakikat bahawa matlamat akhir pembangunan tidak lagi boleh berasaskan kepada pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya pembangunan menyeluruh.

Amanah dan tanggungjawab kita sangat besar untuk mencapai makna pembangunan yang melengkapkan definisi kita sebagai bangsa yang berjaya, mempunyai pemikiran dan sistem nilai termaju.

Bukan sekadar berpendapatan tinggi tetapi berbudaya tinggi, berkeperibadian unggul, berpegang pada nilai dan berfikiran maju.

Bagi mencapai tujuan tersebut, kita perlu mencari keseimbangan dalam pembangunan. Kita memerlukan elemen yang boleh memberikan imbal balik, agar dalam semua kepesatan dan keghairahan kemajuan ini, kita tidak tersasar.

Elemen yang tidak akan menjerumuskan masyarakat kepada satu kehidupan tanpa nilai, suluhan rohani, iman dan rasa kebergantungan kepada Tuhan dan agama.

Dalam konteks gagasan Johor Berkemajuan yang menjadi wawasan penting pembangunan Johor yang komprehensif dan seimbang, kita tidak boleh menjadi bangsa yang meninggalkan jalan agama.

Meskipun kita menatang pembangunan ekonomi yang sangat pesat, ia perlu sejajar dengan jalan Tuhan dan rohani.

Apatahlagi, masyarakat yang terbaik hanya akan terjelma dengan kemajuan dan kemodenan yang dipandu ilmu wahyu dan kebenaran.

Persoalannya, jika faktor agama adalah penting dalam keseimbangan pembangunan, apakah atau siapakah yang dapat memainkan peranan besar memberi memberi keseimbangan ini?

Jawapannya, sistem pendidikan agama kita. Pastinya guru-guru agama perlu memimpin keseimbangan ini.

Di Johor misalnya, kita sangat beruntung kerana mempunyai sistem dan institusi pendidikan agama yang kukuh sehingga menjadi identiti negeri.

Sejak sekian lama, sekolah agama menjadi katalis terpenting untuk memajukan bangsa dan negeri. Malah, sekolah agama berupaya menjadi Benteng Moral Johor Berkemajuan yang menjana masyarakat terbaik atau masyarakat ‘kamil’ di Johor selama ini.

Dalam usaha melonjakkan peranan dan sumbangan sekolah agama ini, kita perlu memperkukuh keupayaan sekolah dan modal insannya agar lebih berdaya saing.

Dalam hal ini, saya telah mencadangkan tiga perkara bagi merealisasikan gerakan memodenkan pendidikan agama.

Pertama, pemantapan kebajikan guru-guru dan pentadbir sekolah agama. Kita perlu terus mencari jalan dan inisiatif baharu bagaimana untuk menjadikan aspek kebajikan guru-guru dan pentadbir sekolah agama kekal kompetetif dan setanding dengan skim imbuhan para profesional lain.

Hal ini penting bagi memastikan profesion perguruan dan pentadbiran di sekolah agama dihormati dan disegani oleh masyarakat.

Kedua, pemantapan prasarana. Sistem pendidikan agama ini sudah beratus-ratus tahun usianya. Justeru, prasarana pendidikan agama di Johor mesti dimantapkan.

Ia mesti dibangunkan dengan cara yang mencerminkan kepentingan pendidikan Islam. Kita mahu apabila disebut sahaja sekolah agama, timbul gambaran sebuah institusi pengajian moden dan dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran kondusif.

Ketiga, semakan dan pemerkasaan sukatan, kurikulum dan pendekatan pedagogi. Untuk menjadikan sekolah agama ini benteng rohani bangsa Johor, ia menuntut transformasi kurikulum dan pedagogi yang tulen.

Pada masa yang sama, kita harus memanfaatkan teknologi agar proses pembelajaran dan pengajaran menjadi kreatif serta lebih menarik.

Kita mesti menjadikan kunjungan harian anak-anak ke sekolah agama adalah kunjungan yang penuh keterujaan.

Mereka teruja untuk belajar, menelaah dan menghabiskan waktu dengan bermanfaat di sekolah.

Jangan kita biarkan sesi sekokah agama ini disaratkan dengan peraturan dan larangan demi larangan yang hanya menjauhkan, atau aktiviti yang bosan, atau sekadar program yang bersifat hafalan yang tidak menarik.

Walau bagaimanapun, kita percaya bahawa gerakan memodenkan pendidikan agama ini tidak akan dapat direalisasikan jika tidak mempunyai sumber, ruang, dan lebih penting, iaitu kuasa membuat keputusan.

Tanpa kuasa dan kekuatan politik, tidak akan ada jalan konkrit untuk menjadikan apa dirancang menjadi kenyataan.

Justeru, pemerintahan Melayu Islam di Johor khususnya, mesti didukung tanpa berbelah bahagi. Bukan sekadar mempertahankan, tetapi memperkuatkannya.

Kita memerlukan kuasa politik untuk memastikan kelangsungan dan kepentingan Islam dan Melayu di Johor dan Malaysia terpelihara.

Hal ini semakin penting kerana tanpa pengaruh dan kuasa politik, kepentingan Islam dan Melayu juga akan menjadi semakin terhimpit.

Tanpa pengaruh dan kuasa politik, iltizam dan hasrat menjadikan pendidikan agama sebagai rukun dan pasak pembangunan, akan kabur.

Tanpa pengaruh dan kuasa politik, pendidikan agama dan agenda Islam akan sekadar menjadi sisipan, sampingan dan sekunder atau bukan menjadi keutamaan.

Guru-guru agama yang menjadi pendiri kepada sistem pendidikan agama perlu mempertahankan kuasa politik Melayu Islam.

Mereka perlu mempunyai pendirian yang berani untuk mendukung perjuangan dan pencerahan bangsa, serta menolak pergerakan politik yang penuh kecelaruan dan kekusutan matlamat perjuangan.

Hakikatnya, kita tidak boleh lemah secara politik kerana kelemahan politik Melayu Islam akan mengancam kedudukan, pengaruh dan kepentingan orang Melayu Islam di Johor khususnya dan Malaysia amnya.

Secara tuntasnya, pendidikan agama adalah teras kepada keseimbangan pembangunan dan bentang moral masyarakat.

Kemajuan dan kemodenan yang pesat tanpa agama dan rohani, adalah kehidupan yang sangat pincang dan cacat. Lebih malang, kemajuan tanpa agama menjadikan nurani bangsa kita bercelaru.

Saya dan Kerajaan Negeri berjanji akan terus berusaha dan menanam iltizam politik yang tinggi, untuk memperkukuh sistem pendidikan agama bagi menjayakan agenda masyarakat Islami di Johor khususnya dan di Malaysia amnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>