Ucaptama oleh Y.A.B. Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Besar Johor

The Ninth (9) International Forum for Sustainable Asia and the Pacific (ISAP)

Tema: Perubahan Transformasi: Mengutamakan Kemapanan dalam Tindakan

Pada 25 – 26 Julai 2017 di Pacifico Yokahama Conference Center

Thematic Tracks 4 (TT-4) “City Champions: Taking Theory and Practice to the Next Level”


Selamat Sejahtera saya ucapkan kepada

Prof. Hironori Hamanaka, mantan pengerusi lembaga pengarah IGES, pengerusi ICLEI cawangan Jepun

En. Kazuyuki Tani, Bandar Shimokawa

Dr. Stefanos Fotiou, Bahagian Alam Sekitar dan Pembangunan, Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia dan Pasifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (ESCAP).

En. Itsu Adachi, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA)

Mr. Kenji Suzuki, Tokyo Metropolitan Government (TMG)

Dr. Junichi Fujino, Institute for Global Environmental Strategies (IGES)

Dr. Yatsuka Kataoka, Institute for Global Environmental Strategies (IGES)

YB Datuk Haji Ayub bin Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor

YBhg. Datuk Ismail Ibrahim, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA)

 

Para Penceramah Yang Dihormati, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Ia merupakan sebuah penghormatan yang besar bagi saya untuk bersama anda semua pada hari ini untuk berkongsi tentang “City Champions: Taking Theory and Practice to the Next Level.”
  2. Sebagai “City Champions”, kita harus menjadi arkitek kemajuan, pemangkin pertumbuhan yang mampan dan penyokong pemerkasaan masyarakat serta kecemerlangan dalam kebolehan hidup.
  3. Justeru, saya hadir di sini bersama pasukan Johor yang ingin mendapatkan pengetahuan serta pengalaman anda yang luas ekoran kejayaan pembangunan mampan di bandar-bandar serta wilayah-wilayah di sini.
  4. Pada masa yang sama, kami akan berkongsi bersama anda usaha-usaha kita dalam menjayakan pembangunan mampan di Iskandar Malaysia sebagai salah sebuah inisiatif kita ke arah menjadi sebuah Metropolis Antarabangsa yang Kukuh dan Mampan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kisah dan Pencapaian Iskandar Malaysia

  1. Iskandar Malaysia telah dilancarkan pada tahun 2006 bertujuan untuk mendemokrasikan pembangunan dengan mewujudkan koridor pertumbuhan baru di luar Lembah Klang.
  2. 11 tahun telah berlalu dan pelbagai pencapaian yang membanggakan telah dapat kita raih.
  3. Sehingga kini, lebih 700,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan dalam wilayah Iskandar Malaysia. Pencapaian menakjubkan ini bertepatan dengan matlamat ke-8 Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menggalakkan pekerjaan produktif untuk semua.
  4. Saya ingin berkongsi satu testimoni peribadi seorang nelayan wanita dari Kampung Kong-Kong Laut di Iskandar Malaysia.
  5. Saya memetik apa yang dikatakan beliau, “Tanpa program keterangkuman sosial Iskandar Malaysia, saya mungkin kekal hanya sebagai seorang nelayan yang bergantung hidup pada hasil laut. Sekarang, saya juga seorang usahawan dan pemandu pelancong. Kehidupan saya lebih bahagia dengan pendapatan yang telah meningkat lebih 50%! Selain aspek kewangan, saya juga telah banyak mendapat ilmu yang bermanfaat dan sudah pandai mencari serta mengambil peluang. Kita telah dilatih untuk berfikir di luar kotak dan memberi nafas baru kepada kemahiran dan kekuatan asas kita melalui inovasi menjadi sesuatu yang lebih baik,”.
  6. Ini membuktikan bahawa kita mampu memacu setiap individu dalam masyarakat kita ke arah memenuhi potensi mereka dengan adanya inisiatif-inisiatif yang betul.
  7. Pencapaian seperti ini amat kita hargai, di mana kemampuan peribadi diperkasakan dan kemajuan ketara dapat dirasai setiap lapisan masyarakat.
  8. Sebuah lagi pencapaian Iskandar Malaysia adalah kemajuan EduCity Iskandar dalam mengejar matlamatnya menjadi sebuah hab pendidikan bertaraf antarabangsa. Sebagai sebuah entiti yang unik dan pertama seumpamanya di Asia, ia telah meningkatkan profail negeri Johor selaku sebuah destinasi pelancongan pendidikan.
  9. Lebih daripada itu, ia telah meluaskan lagi peluang untuk pelajar-pelajar Malaysia untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian antarabangsa pada kos yang lebih rendah.
  10. Dengan adanya tujuh kampus universiti dan dua sekolah antarabangsa, EduCity Iskandar merupakan pembekal bakat bagi menyokong pelbagai aktiviti ekonomi Iskandar Malaysia di samping membentuk generasi pemimpin masa hadapan.
  11. Pencapaian seterusnya adalah pertumbuhan pesat Smart City Iskandar Malaysia.
  12. Strategi pembangunan ini mengguna pakai teknologi komunikasi maklumat (ICT) secara inovatif dan meluas untuk kehidupan yang lebih berkualiti dan mampan.
  13. Ia diterjemahkan kepada enam dimensi iaitu Ekonomi Pintar, Urus Tadbir Pintar, Persekitaran Pintar, Mobiliti Pintar, Kehidupan Pintar dan Rakyat Pintar.
  14. Saya amat berbangga untuk memaklumkan bahawa 49.5% daripada 80 projek Smart City telah berjaya dilaksana dan disiapkan sehingga tahun 2016.
  15. Kesemua projek ini diusahakan dengan fokus yang khusus kepada rakyat. Ia bertujuan memperkaya, memperkasa dan meningkatkan gaya hidup rakyat Johor, Malaysia dan warga global yang memilih untuk menjadikan Johor sebagai destinasi untuk bermastautin.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Masyarakat Rendah Karbon

  1. Pencapaian paling ketara adalah pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025, yang meletakkan kemampanan pada asas segala tindakan yang diambil.
  2. Pelan tindakan ini adalah salah satu daripada hasil penyelidikan di bawah projek SATREPS (Perkongsian Sains dan Penyelidikan untuk Pembangunan Mapan) yang bertajuk “Pembangunan Senario Rendah Karbon untuk Wilayah Asia” dan dibiayai oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST) serta disokong dengan padu oleh Kementerian Alam Sekitar Jepun (MOEJ). Universiti penyelidikan yang terlibat dalam kerjasama perkongsian ini adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kyoto, Institut Pengajian Alam Sekitar Kebangsaan Jepun (NIES) dan Universiti Okayama.
  3. Pada ketika seluruh dunia mengorak langkah ke arah melaksanakan Perjanjian Paris dan Agenda 2030, Iskandar Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menangani pelepasan karbon melalui pelan tindakan ini.
  4. Untuk makluman semua, pelan tindakan ini menggariskan sejumlah 281 program untuk dilaksanakan, yang dijangka akan mengurangkan keamatan karbon bagi Iskandar Malaysia sebanyak 58% menjelang tahun 2025.
  5. Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa 35 daripada 281 program itu telah dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, IRDA, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi-agensi swasta. Pemantauan dan pelaporan adalah langkah penting dalam menjejaki kemajuan dan halatuju matlamat yang telah ditetapkan. Iskandar Malaysia telah mencapai peringkat kitaran pembangunan karbon rendah dengan penerbitan Inventori Gas Rumah Hijau Iskandar Malaysia 2015.
  6. Inisiatif Masyarakat Rendah Karbon ini telah membawa kepada pelbagai pengiktirafan dan limpahan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa sejak pelancaran Conference of Parties (COP) 18 di Doha. Antara yang dapat saya kongsikan bersama anda hari ini termasuklah:
    • Pertama, Iskandar malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 bandaraya dan wilayah di bawah projek SE4ALL (Sustainable Energy for All) PBB pada September 2014;
    • Kedua, penubuhan Pusat Masyarakat Rendah Karbon (LCS) Asia UTM pada Oktober 2013 yang merupakan pusat utama bagi MRK di Malaysia yang merangkumi rantau ASEAN.
    • Pada Februari 2015, Iskandar Malaysia telah menganjurkan “Future City International Forum” yang pertama di luar Jepun dan dihadiri lebih 250 peserta. Pemilihan Iskandar Malaysia oleh pihak Jepun merupakan pengiktirafan kepada projek LCS-nya yang turut dikenali di peringkat antarabangsa.
    • Seterusnya, telah ditandatangani Memorandum Persefahaman di antara Bandar Toyama (Jepun) dan IRDA pada bulan Februari 2015 tentang usaha perniagaan yang berpotensi terutamanya dalam bidang pengangkutan, farmaseutikal, mini-hidro, dan pertanian.
    • Kerjasama dengan Institut Pembinaan Persekitaran dan Konservasi Tenaga (IBEC) bagi mempromosikan Sistem Penilaian Komprehensif bagi Kecekapan Persekitaran Dibina (CASBEE) di Iskandar Malaysia.
    • Kerjasama dengan Kerajaan Metropolitan Tokyo (TMG) dan Mizuho Research bagi menggalakkan Sistem Pemantauan dan Pelaporan Tenaga Bangunan (BEMRS) di Iskandar Malaysia.
    • Yang terakhir, persiapan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Malaysia dan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur.
    • Jelasnya, Iskandar Malaysia merupakan peneraju dalam inisiatif Masyarakat Rendah Karbon, selaku wilayah contoh bagi negeri-negeri lain di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.
    • Seterusnya, kita akan memulakan fasa kedua dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon 2025 bagi lima Pihak Berkuasa Tempatan. Pelan ini, yang disediakan hasil kerjasama universiti di Malaysia dan Jepun serta agensi tempatan, telah dilancarkan pada COP 21 di Paris.
  7. Setiap pelan tindakan ini mengenal pasti dan bertindak balas kepada aspek ekonomi, sosial dan persekitaran termasuk kekuatan, potensi serta isu-isu unik yang dihadapi oleh setiap PBT.
  8. Amat penting untuk mengambil kira keperluan setiap PBT dalam menjayakan matlamat kita untuk mewujudkan alam sekitar yang lebih baik agar ia bersesuaian dengan kawasan masing-masing, berbanding dengan satu penyelesaian sahaja untuk semua. Seperti pepatah yang baru-baru ini disebut, “Fikir Global, Bertindak Local”.
  9. Bagi menjayakan pelan tindakan ini, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan saya telah memasukkan pelaksanaaan program Masyarakat Rendah Karbon ini sebagai salah satu daripada KPI beliau.
  10. Ini akan memastikan pelaksanaan dasar dan program yang berkesan dan mengikut jadual, yang akhirnya akan memanfaatkan semua. Secara ringkas, prinsip memiliki kebertanggungjawaban pada setiap peringkat urus tadbir ini membentuk batu asas matlamat bersama kita ke arah membentuk Masyarakat Rendah Karbon.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Dasar Kemampanan Johor

  1. Johor mensasarkan untuk menjadi sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2020. Ia telah mengguna pakai dasar-dasar ekonomi dan sosial yang telah mendorong pelbagai fasa pertumbuhan dalam negeri. Justeru, sebuah dasar kemampanan yang berfokuskan persekitaran adalah penting bagi memastikan pertumbuhan kekal mampan.
  2. Ini sudah tentu akan memacu ibu negeri kita, Johor Bahru, yang telah diiktiraf sebagai bandaraya ketiga terbaik di Asia Tenggara oleh kajian Kedudukan Kualiti Kehidupan Mercer 2017, ke tahap yang lebih tinggi.
  3. Kami amat percaya pada perlunya pertumbuhan yang seimbang bagi bandaraya kita. Sebuah bandaraya yang penuh dengan perwatakan, penuh dengan penglibatan masyarakat yang amat mengambil berat tentang pemuliharaan alam sekitar.
  4. Saya berbesar hati untuk berkongsi bersama anda semua bahawa Kerajaan Negeri Johor telah menyiapkan Dasar Kemampanan Johor 2017-2021 yang bertujuan untuk memulihara dan menjaga warisan semula jadi kita, mengawal pencemaran dan mendorong pertumbuhan rendah karbon bagi kesejahteraan rakyat di Johor.
  5. Dasar ini mempunyai lima teras yang merangkumi pemuliharaan aset semula jadi, memupuk gaya hidup yang bertanggungjawab, menghijaukan ekonomi, menambah baik tadbir urus dan memperkasakan rakyat.
  6. Inilah komitmen tegas kami bagi mempertahankan nilai-nilai pembangunan yang mampan di seluruh Johor dengan memelihara Bumi kita.

Cabaran Yang Dihadapi

  1. Sememangnya landasan ke arah pembangunan mampan ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Namun, cabaran ini wujud bagi menguji kemampuan kita, sama ada kita benar-benar berani dan mempunyai azam politik untuk bertahan di landasan ini.
  2. Contohnya, amat sukar bagi mendapat sokongan daripada setiap individu dalam masyarakat untuk mendukung perancangan ke arah pembangunan mampan.
  3. Ada pihak yang bersedia untuk perubahan positif, manakala ada juga pihak yang tidak sanggup untuk membuat pengorbanan yang diperlukan. Sudah tentu akan wujud tentangan hebat daripada pemegang taruh yang berbeza pendapat.
  4. Satu prinsip penting yang diamalkan oleh Iskandar Malaysia adalah keperluan untuk satu anjakan paradigma sebelum berlakunya perubahan sikap. Perubahan cara pemikiran akan membawa kepada perubahan dalam sistem penilaian yang seterusnya akan mengubah cara kita bertindak dan akhirnya mengubah nasib kita semua.
  5. Atas sebab itulah, Iskandar Malaysia melabur dalam program “Awareness Before Change” yang bertujuan meningkatkan kesedaran pihak awam tentang pembangunan yang akan dilaksanakan sehingga ke tahun 2020.
  6. Ia bertepatan dengan pendekatan inklusif bagi memastikan tiada pihak yang ketinggalan dalam perjalanan kita ke arah menjadi sebuah Metropolis Antarabangsa yang Kukuh dan Mampan.
  7. Sebuah lagi cabaran yang dihadapi oleh Iskandar Malaysia adalah keperluan untuk melibatkan setiap generasi, tua mahupun muda. Berdasarkan statistik populasi Iskandar Malaysia, 69% daripada penduduknya terdiri daripada belia berumur 16 sehingga 40 tahun.
  8. Justeru, dengan menggabungkan dasar-dasar yang menggalakkan gaya hidup holistik bagi belia, kita akan meningkatkan kebolehan hidup generasi akan datang. Itulah sebabnya Iskandar Malaysia melabur pada Hab Belia Antarabangsa Johor sebagai platform untuk golongan belia berhimpun, bertukar pendapat, menyumbang secara produktif dan menganjurkan aktiviti rekreasi untuk rakan sebaya mereka.
  9. Jangan kita lupa bahawa golongan belia tidak seharusnya hanya menjadi suara masa hadapan, tetapi mereka juga perlu diberi peluang untuk bersuara pada masa kini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Penutup

  1. Sudah tiba masanya untuk kita melipat gandakan usaha kita ke tahap kemampanan yang seterusnya. Inilah masanya untuk kita berkongsi pengalaman kita dengan seluruh dunia, dengan harapan inisiatif rendah karbon kita ini dapat direplikasi dengan berkesan di semua bandaraya di semua negara-negara membangun.
  2. Saya benar-benar percaya bahawa Johor dan Iskandar Malaysia akan terus makmur dari segi ekonomi manakala agenda hijau dan alam sekitar akan menjadi lebih utama pada masa akan datang.
  3. Masyarakat seimbang, perumahan yang boleh didiami, tempat kerja yang kondusif serta persekitaran yang santai merupakan perkara yang kita inginkan untuk diri kita, dan sudah tentu untuk anak-anak kita serta anak-anak mereka juga.
  4. Marilah kita penuhi tanggungjawab kita selaku arkitek kemajuan, pemangkin pembangunan mampan dan penyokong masa hadapan yang lebih baik.
  5. Sekali lagi, saya berasa amat berbesar hati kerana dapat bersama anda semua pada forum antarabangsa ini. Terima kasih atas minat, sokongan dan komitmen berterusan anda yang ditunjukkan kepada negeri Johor dan Iskandar Malaysia.
  6. Akhirnya, terima kasih juga kepada IGES kerana sudi menjemput saya. Semoga sesi perbincangan ini membawa hasil yang memberangsangkan, dan saya harap kita akan berjumpa lagi pada masa akan datang.

Terima kasih!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>