Kekuatan Islam terletak kepada ciri global dan kepelbagaiannya. Islam bukan milik satu-satu bangsa tetapi manusia sejagat. Justeru, Islam disifatkan sebagai rahmat kepada seluruh alam tanpa mengenal batas kaum, warna kulit, status sosial dan keturunan. Kini Islam merentasi sempadan benua dan menyumbang kepada satu perempat atau 25 peratus kepada jumlah penduduk dunia.

Menjelang 2075, Islam dijangka menjadi agama terbesar di dunia berdasarkan jumlah penganutnya. Jumlah ini bukan sahaja disumbangkan dengan kelahiran bayi dalam kalangan keluarga Islam di seluruh dunia, tetapi faktor saudara baharu atau muallaf, iaitu penghijrahan bukan Islam kepada Islam. Sejak tahun 2013 hingga 2017, Johor telah menyaksikan seramai 4,190 orang saudara baharu. Ini bermakna, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, secara puratanya, kira-kira seramai 850 orang setahun telah kembali memeluk Islam. Ini adalah satu perkembangan yang positif dan memberangsangkan.

Seiring dengan gagasan Johor Berkemajuan yang menitikberatkan soal inklusif dan sejahtera, kerajaan negeri akan terus memberikan perlindungan, sokongan dan pengiktirafan kepada gologan saudara baharu Islam ini. Komitmen ini berasaskan kepada lima faktor. Pertama, pengorbanan besar saudara baharu kita meninggalkan agama dan kepercayaan terdahulu, demi Islam wajar dihargai. Hal ini kerana bukan satu perkara mudah untuk beralih agama kerana ia memerlukan pengorbanan yang sangat luar biasa.

Kedua, menyantuni golongan mualaf dan saudara baharu adalah satu tuntutan agama Islam. Ketiga, sumber perbelanjaan kepada program serta intervensi kepada golongan mualaf adalah daripada hasil zakat dan dana Majlis Agama Islam Johor. Justeru, ini adalah satu bentuk pengurusan dan perbelanjaan sumber yang betul dan bertepatan dengan fungsi Majlis Agama Islam sendiri.

Kita mahu masyarakat berupaya untuk melihat dengan jelas bagaimana hasil zakat dan kewangan diurus dan dibelanjakan dengan agama Islam dengan baik dan telus. Biar masyarakat tahu dan sedar bahawa segala hasil zakat dan sumber kewangan yang berkaitan dengan Islam dibelanjakan untuk manfaat pelbagai golongan yang layak dan memerlukan. Secara tidak langsung, usaha menyantuni golongan mualaf ini dapat menjadi kayu ukur kepada keprihatinan dan kecekapan institusi yang bertujuan membantu dan melindungi umat Islam di Johor seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Keempat, menyantuni dan melindungi golongan mualaf akan memberikan imej yang baik kepada masyarakat Islam dan agama Islam itu sendiri. Lebih-lebih lagi Islam itu sendiri merupakan agama yang sangat bertolak ansur, yang sangat prihatin, penyayang dan terbuka. Islam itu rahmat kepada seluruh alam. Islam ini bukan agama yang keras, sebaliknya menyeru umat berlumba-lumba melakukan kebaikan dan amal kebajikan.

Kelima, menyantuni golongan mualaf adalah selari dengan aspirasi Johor Islami. Kami berpandangan bahawa negeri yang Islami itu bukanlah negeri yang melihat Islam secara sempit, iaitu hanya didefinisikan dari lensa politik dan konteks perundangan. Sedangkan, Johor Islami itu jauh lebih besar cakupan dan pemahamannya, iaitu ukan setakat berkisar tentang pengenalan atau pelaksanaan Islam melalui instrumen undang-undang.

Johor telah mengumumkan pengenalan Skim Bantuan Bulanan Mualaf Negeri Johor seperti dalam Bajet Johor 2018 yang telah dibentangkan tahun lalu. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta dana kepada Skim Bantuan Bulanan Mualaf Negeri Johor. Skim ini akan memanfaatkan tiga kategori penerima yang terdiri daripada seribu orang mualaf yang masih dalam tempoh dua tahun pertama pengislamannya.

Melalui pengenalan skim khas ini, ia menjadikan negeri Johor sebagai negeri yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan skim bantuan khusus dalam membela kebajikan mualaf. Sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran saya sahaja, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor telah memperuntukkan hampir RM84 juta dengan purata tahunan RM18 juta setahun kepada golongan mualaf.

Menjadi saudara baharu, bukanlah bermakna mereka harus kekal sebagai kumpulan penerima nikmat. Mereka turut menggalas amanah besar untuk membangunan agama, termasuk negeri Johor yang mereka diami. Justeru, adalah menjadi harapan saya, agar saudara baharu sentiasa membantu saya dan Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri ini dan masyarakatnya, dalam kalangan yang terbaik.

Kami akan sentiasa mendengar dan membuka pintu perbincangan. Beritahulah kita, apa lagi yang perlu dilakukan agar lebih ramai anggota masyarakat kita akan dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera. Kehidupan yang adil dan bermutu. Selain itu, saudara baharu kita ini disarankan agar menyumbang kepada perkembangan agama Islam dan negeri Johor. Usaha ini tidak wajar diserahkan bulat-bulat kepada pihak MAINJ atau Kerajaan Negeri semata-mata. Sebaliknya, kita semua bertanggungjawab dalam perkara sebegini.

Kehidupan ini satu perjuangan, lebih-lebih lagi apabila kita memilih Islam sebagai cara hidup. Persepsi negatif terhadap Islam dan faktor Islamophobia pasti menguji solidariti umat Islam. Justeru, besar harapan kita agar saudara-saudara baharu kita daripada golongan mualaf akan senantiasa bertabah dalam menempuh kehidupan sebagai seorang Muslim. Perjalanan mereka pasti bukan mudah tetapi percayalah, apabila mereka telah menerima Islam, mengamalkan Islam itu juga pasti akan mudah, kerana Islam itu tidak menyusahkan, Insya Allah.

Secara tuntasnya, kelompok saudara baharu adalah sangat penting dalam komuniti Islam di negara, khususnya di Johor. Justeru, pelbagai bantuan dan inisiatif telah diperkenalkan bagi menjaga kebajikan mereka. Namun, pada masa yang sama, mereka turut bertanggungjawab khususnya berperanan untuk menterjemahkan sisi Islam yang global dan pelbagai kerana apabila mereka memeluk Islam, mereka masih kekal dalam kaum masing-masing. Ini sekaligus dapat mempamer keindahan Islam yang mensejahterakan kehidupan manusia sejagat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>