TEAM JOHOR

Tiada seharinya berlalu tanpa kita memikirkan tentang pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor. Dan ia hanya dapat dilakukan dengan jalinan muafakat serta usaha bersama semua pihak, sebagai satu pasukan.  Sebagai TEAM Johor.

Sejak terdirinya kerajaan negeri lebih seabad yang lalu, ia terus menikmati kemajuan dan pembangunan.  Ekonominya terus pesat berkembang.

Segalanya dicapai hasil muafakat Bangsa Johor yang terkenal dengan sikap toleransi di kalangan rencam latar masyarakatnya dan kegigihan usaha rakyatnya bagi mensejahterakan negeri.

Justeru, usaha memupuk dan memastikan segalanya terus kekal dan berkembang, dilaksanakan di atas landasan Muafakat Johor.

Menerusi semangat permuafakatan, saling faham-memahami di antara satu sama lain dan meraikan perbezaan dalam semangat harmoni serta tanpa kecenderungan polarisasi.

Pada masa yang sama, kita juga mahu negeri ini terus mengecapi kejayaan dan kemajuan.

Kejayaan dan kemajuan yang tidak sekadar berlatarkan bangunan dan prasarana serba canggih tetapi Johor Berkemajuan dengan acuannya yang tersendiri.

Ini kerana, tiada maknanya segala kemajuan itu tanpa kita lengkapi Bangsa Johor dengan identiti masyarakat yang maju sudut pandang serta pemikirannya.

Atas sebab itu jugalah, kita wajar melontarkan pertanyaan berikut, siapakah akan menjayakan cita-cita murni sebuah Johor Berkemajuan berlandaskan semangat Muafakat Johor?

Menyandarkan segalanya itu kepada bahu kerajaan semata-mata tidak akan memungkinkan impian itu tercapai.

Ia memerlukan penggemblengan tenaga, usaha dan kudrat setiap lapisan masyarakat, yang mendukung aspirasi Johor Berkemajuan.

Ia menuntut kita semua untuk mengambil sikap dan peranan aktif dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah memajukan Johor.

Ia memupuk rasa kepunyaan kepada sekeping tanah yang bertuah dan satu-satunya Jauhar kepunyaan kita.  Agar kita jadi masyarakat dan negeri yang terbaik lagi berjaya.

Maka atas sebab itulah, kita semua berkongsi tanggungjawab dan kepunyaan yang sama, sebagai sebuah TEAM Johor.

TEAM Johor yang tiada menunjangi perbezaan status kehidupan, kedudukan sosial dan taraf pendidikan.

Kerana walau di mana sekalipun kita selaku Bangsa Johor berada, kita tetap berpeluang menyumbang kepada kemajuan negeri dan seluruh isinya.

Sebagai sebuah pasukan yang sama, setiap seorang dari kita mesti bertindak dan menjalankan peranan masing-masing demi kebaikan semua.

Kitalah pencipta, pendukung, penggerak dan pemain dalam pasukan ini.  Kitalah nadi dan jiwa kepada TEAM Johor.

Bersamalah kita bulatkan tekad serta iltizam, terus gigih berusaha dan bingkas memberikan sebanyak-banyaknya kebaikan dan kemakmuran kepada tanah bernama Johor ini.

Agar ia lebih makmur dan harmoni.  Menjadi kuasa ekonomi unggul hari ini dan berdekad-dekad lagi.  Menjadi negeri yang terus disegani dan dihormati

Ayuh TEAM Johor! Bersama-sama kita tempa kejayaan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>