Sewaktu Konvensyen UMNO Johor tahun lalu, saya telah mengutarakan gagasan agar UMNO mesti diislahkan. Pengislahan ini bukan bererti penjenamaan semula dan peremajaan. 

Bukan sekadar menukar nama dan logo yang bersifat kosmetik atau luaran. Akan tetapi, pengislahan UMNO tersebut harus menjurus kepada pengukuhan pemikiran, idealogi serta pemantapan jiwa perjuangan UMNO itu sendiri.

Hal ini penting kerana UMNO perlu menjadi parti moden yang terus menjadi pilihan masyarakat. UMNO tidak seharusnya lemas dengan gelombang globalisasi yang sarat dengan idea baharu dan segar demi kepentingan bangsa. 

Bagi memastikan UMNO terus kekal dan relevan, parti memerlukan banyak idea baharu yang baik. Dan kesemua ini memerlukan kajian dan penyelidikan yang serius.

Pada masa yang sama, UMNO perlu merangka pelbagai agenda dan keputusan berasaskan pemikiran terkini dan maklumat  terbaik. 

Dalam hal ini, dasar parti mesti disandarkan dengan pemikiran, analisis, saranan, kritikan dan pandangan yang disokong dengan data yang emperikal, yang terbukti dan yang terkini. 

Bukan didorong dengan sentimen dan emosi yang membuak-buak atau retorik kosong.

Penubuhan Bait al-Amanah

Justeru, UMNO Johor baru-baru ini telah melancarkan penubuhan sebuah institut pemikir milik yang dinamakan atau House of Trust, atau dalam bahasa Melayunya,  Rumah Amanah. 

Bait Al Amanah yang dimiliki sepenuhnya oleh UMNO Johor ini akan berperanan menjadi sumber rujukan UMNO Johor dalam meneroka dasar-dasar baharu, merekayasa dasar-dasar sedia ada dan menyusun agenda yang lebih strategik dalam perjuangan orang Melayu pasca moden. 

Penubuhan Bait Al Amanah tepat pada masanya. Mana mungkin sebagai parti yang sudah lama, yang banyak berjasa dan yang gah seperti UMNO boleh mengabaikan kepentingan mempunyai badan pemikirnya tersendiri. 

Ini bukan lagi zaman pra kemerdekaan, sebaliknya kita berada di zaman yang menuntut politik untuk berupaya mendepani pelbagai isu nasional dan antarabangsa dan mengemukakan dasar, pandangan dan penyelesaian yang konstruktif. 

Sebagai komitmen kita kepada kepentingan ilmu, idea dan pemikiran dalam membangunkan UMNO, Bait Amanah sama sekali tidak akan berorientasikan keuntungan. Ia adalah hadiah UMNO untuk bangsa dan negara. Malah, ia akan dibiayai sepenuhnya oleh UMNO melalui dana khusus. 

Bait Amanah akan bersifat bebas, kritikal dan lantang walaupun dimiliki sepenuhnya oleh UMNO Johor. Kita tidak akan mencampuri dan mempolitikkan Bait Al Amanah dan hasil dapatan kajiannya UMNO Johor perlu dapatan yang benar-benar objektif, telus dan tepat.

Pemikir profesional berpendidikan tinggi

Agenda pengislahan UMNO melalui Bait Al Amanah tidak mungkin berjaya tanpa penerajunya. Mereka yang akan memimpin, melaksana dan menjayakan pengislahan ini mestilah kumpulan yang benar-benar layak dan berkemampuan mencetus dan memimpin pemikiran ahli UMNO. 

Dalam hal ini, UMNO Johor memberi peluang kepada pemimpin muda dan berpendidikan dalam parti. Ramai yang bertanya kepada saya. 

Kenapa dalam usaha pengislahan ini, kita harus memilih dan memberikan tanggungjawab tersebut kepada satu kumpulan khusus. Kumpulan yang profesional, yang  berpendidikan tinggi. 

Saya mempunyai empat sebab kenapa kumpulan tersebut adalah golongan sasar yang penting dalam ikhtiar pengislahan UMNO ini. 

Pertama, selama ini UMNO lupa pada bakat dan potensi yang ada di kalangan profesionalnya. Mereka adalah golongan terpelajar dan memegang pelbagai jawatan di luar dan di dalam parti. 

Ada kalanya, mereka tidak diberikan ruang dan peluang yang baik dalam parti. Akibatnya, ramai bakat berkebolehan memilih untuk tidak tampil ke hadapan dan menyumbang dengan berkesan kepada UMNO. Ini adalah satu kerugian yang besar buat UMNO. 

Kedua, ramai profesional yang menganggotai parti tetapi tidak tahu bagaimana mereka boleh menyumbang dengan bermakna kepada parti. 

Kita harus akui, sebelum ini, ramai golongan profesional dalam UMNO lebih memilih untuk hanya menjadi pemerhati dan lebih banyak mendiamkan diri. Lantas, mereka tidak memanfaatkan ilmu dan pengalaman mereka untuk menjayakan parti dan agenda bangsa.’ 

Atas dasar itu, UMNO Johor akan membuka ruang yang luas agar golongan profesional yang ada akan tampil dan memberikan amal dan bakti melalui kepakaran, ilmu dan pengalaman mereka.

Ketiga, golongan profesional lazimnya adalah sosok yang dihormati dan di teladani oleh masyarakat. Kita percaya, kewibawaan golongan terpelajar harus menjadi pemangkin kepercayaan kepada parti. 

Justeru, UMNO mesti didukung dan dipimpin oleh mereka yang disegani dan boleh diteladani oleh masyarakat. 

Akhir sekali, kita memilih untuk mengajak golongan profesional mengambil tanggungjawab dalam pengislahan UMNO. 

Ini kerana apa lagi yang harus kita wariskan kepada anak bangsa kita jika bukan kepada  generasi pemimpin yang berilmu, berintegriti dan mempunyai visi dan jiwa yang besar. 

Sampai bila kita hanya mahu mengungkit-ungkit dan mengingatkan tentang kejayaan masa silam. 

Sudah tiba masanya untuk kita pula yang merencana dan mencipta sejarah UMNO yang baharu. Kesemua ini boleh dilakukan jika semua pihak dalam UMNO, terutama sekali golongan profesional, diberikan ruang dan kepercayaan sewajarnya.

Ternyata UMNO memerlukan lebih ramai pemikir. Namun harus juga kita insafi, dalam usaha mengupayakan kedudukan profesional dan berpendidikan tinggi dalam proses pengislahan UMNO, ia wajar diimbangi secara kolektif dengan nasihat, pengalaman dan ‘wisdom’ oleh ahli parti yang lebih berpengalaman, lebih lama dan lebih dewasa. 

Kita percaya, kesepaduan minda dan pemikiran kedua-dua pihak ini akan melonjakkan lagi kedudukan UMNO menjadi sebuah parti politik mendahului zamannya.

Penulis adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>